PETANG semalam, saya diajukan dengan ‘chai’ calon-calon yang akan bertanding pemilihan Pemuda, Puteri dan Wanita esok.
‘Chai’ adalah senarai calon yang diingini oleh pihak tertentu untuk ‘disogokkan’ kepada ribuan perwakilan mengundi. Senarai ini diharapkan, kalau tidak semua, dapat menduduki 20 kerusi barisan Exco tiga sayap parti ini.
Di sebalik ‘chai’ yang tertera di atas sekeping kertas kecil, saya ingin menarik perhatian kepada perwakilan yang akan mengundi esok betapa mereka perlu meletakkan individu-individu ‘yang betul’ dalam saf Pemuda, Wanita dan Puteri. Pastikan mereka ini yang benar-benar mahu berjuang untuk UMNO. Jadi sebenar-benarnya orang UMNO.
Saf Exco yang bakal diketengahkan nanti mestilah yang berkeupayaan memahami gelombang era Internet dan laman sosial yang kian menuntut kualiti pemikiran kehidupan sekarang. Barisan Exco tiga sayap ini harus mendalami kehendak-kehendak orang Melayu, limpahan anak muda yang semakin meningkat dalam senarai daftar pengundi dan kepentingan keharmonian kehidupan semua kaum.
Perjuangan yang akhirnya sudah tentu untuk terus memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 dalam majoriti tercantik perlu dimulakan dari sekarang.
UMNO memerlukan pemikiran pejuang mudanya yang strategis, yang tidak lagi berjuang cara lama. Buangkanlah taktik dan strategi tidak praktikal untuk menambat hati pengundi. Buanglah elemen sebegini seperti mana yang sempat saya temui dalam catatan sebuah blog:
“Teringat ketika di Felda Chemplak Barat, pada satu malam kempen Pilihan Raya Kecil DUN Tenang yang lalu. Malam itu seorang pemimpin kanan DAP dijadualkan berucap di kubu kuat UMNO.
“Di seberang lorong tempat pemimpin DAP itu dijadualkan berceramah, berdiri sekumpulan tidak lebih 12 orang Pemuda UMNO dengan lengkap beruniform Pemuda UMNO dan Pemuda BN. Mereka ke situ bukan untuk mendengar ceramah pemimpin DAP terbabit tetapi untuk menzahirkan protes mereka terhadap kedatangannya ke kawasan Melayu.
“Beberapa ketika sebelum pemimpin DAP itu tiba, beberapa ketua mereka dilihat sedang berunding dengan pihak polis yang melingkungi mereka. Tindakan polis melingkungi bukanlah bagi menghalang mereka mara ke hadapan sebaliknya bagi menjaga keselamatan mereka. Bahkan jika polis tidak berbuat demikian, dipercayai mereka akan lari lintang-pukang bila melihat sekumpulan tidak lebih 30 orang berkopiah merenung mereka.
“Penceramah akhirnya tiba dan ketika berada bersama sedozen pemuda UMNO itu, masih boleh mendengar dengan lantang dan lancar ceramah pemimpin DAP itu. Bagaimana dengan suara protes sedozen Pemuda UMNO itu? Bermula dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan berakhir dengan zikir dan selawat, mereka tidak membawa sebarang impak melainkan hanya untuk diri mereka sahaja.
“Akhirnya pemimpin DAP itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka kerana sudi hadir sama di dalam ceramahnya.”
Cuma yang hairannya mengapa sedozen Pemuda itu memakai uniform UMNO/BN dan mengapa mereka tidak berpakaian seperti penduduk Felda dan berdiri bersama orang ramai. Adalah lebih berkesan jika pemimpin DAP itu melihat penentangan terhadapnya datang dari orang-orang Felda.
Esoknya, seorang penduduk ahli UMNO kawasan itu mengajak kesemua pemuda tadi menyertainya untuk mendengar ceramah pimpinan Pas di Tenang Station. Syarat yang diletakkan ialah mereka mesti berdiri di saf paling hadapan dan memakai baju biasa.
Dan apabila mendengar tuduhan yang tidak benar dilemparkan oleh penceramah, angkat tangan dan dengan sopan memohon penjelasan atau membetulkannya.
UMNO mencari ‘harimau’ dalam saf sayapnya.