Pengusaha roti benggali di Pulau Pinang mendakwa jualan mereka terjejas teruk gara-gara tersebarnya berita bahawa terdapat sebuah ‘kilang roti benggali’ di Bayan Baru menguli tepung menggunakan kaki.
Presiden Persatuan Penjual-Penjual Roti Benggali Pulau Pinang P. Manogaran berkata, hanya terdapat dua kilang dan sebuah kedai yang menghasilkan roti jenis itu di negeri ini iaitu Maliia Bakery di Jalan Transfer, Uni Bakery di Air Itam dan Patchee Bakery di Jalan Dato Keramat.
“Terdapat 150 vendor berdaftar di seluruh Pulau Pinang dengan persatuan ini dan kesemua mereka hanya mengambil roti dari tiga pembekal itu sahaja selama lebih 35 tahun lepas.
“Pembuat roti berkenaan guna cara moden dan mereka telah lama dalam bidang itu. Kebersihan dan kualiti roti keluaran mereka berada pada tahap terbaik, kalau tidak percaya, saya jemput orang ramai datang lihat sendiri,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, sejak berita itu tersiar di akhbar Kosmo dan dipetik pelbagai laman sesawang dua hari lepas, jualan roti benggali merosot lebih 50 peratus selain restoran serta kedai makan menghentikan pengambilannya buat sementara waktu berikutan keengganan orang ramai membelinya.
Sementara itu, rakan kongsi Maliia Bakery (M) Sdn Bhd, Datuk Mariadas Gopal berkata kilangnya menghasilkan 12,000 buku roti benggali setiap hari menggunakan mesin yang mampu mengadun 150 kilogram tepung untuk bekalan di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Beliau kesal dengan penyebaran berita itu beserta sekeping gambar hiasan menunjukkan beberapa pekerja memijak tepung tanpa memakai alas kaki di laman sosial dan berkata sebuah cawangan kedainya di Butterworth terpaksa menghentikan operasi sejak dua hari lepas kerana tiada permintaan.
“Kita tidak pernah simpan stok kerana roti benggali yang dibuat habis dijual setiap hari. Kilang kami menjalani prosedur kebersihan yang ketat…jadi kami minta pelanggan tidak perlu bimbang dengan kebersihan produk keluaran kami,” katanya.
Mariadas berkata, beliau sudah berbincang dengan peguam bagi meminta akhbar berkenaan memperbetul kenyataan berhubung kewujudan kilang roti benggali yang menjejaskan reputasi pengeluar roti berkenaan di negeri ini.
Beliau berkata, jika akhbar itu gagal berbuat demikian, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang.
Rabu lepas, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang mengadakan sidang akhbar berkaitan penutupan 12 premis makanan termasuk sebuah premis membuat roti kerana gagal mematuhi peraturan kebersihan.