Pihak Ambank tidak terlibat berhubung penyebaran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Internet memperlihatkan kejadian pegawai syarikat kewangan itu yang ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan bank berkenaan cawangan USJ Central 2, Subang Jaya pada petang Rabu.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali, berkata, pihaknya menyerahkan perkara tersebut kepada polis untuk menyiasat siapakah dalang bertanggungjawab menyebarkan rakaman CCTV berkenaan yang turut tersebar dengan meluas di laman media sosial seperti Twitter dan Facebook.
“Apa yang boleh saya katakan pihak kami, sama sekali tidak terlibat dengan penyebaran rakaman CCTV berkenaan.
“Saya juga tidak pasti siapakah dalang yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman berkenaan. Ini sangat menyedihkan dan kita belum membuat apa-apa keputusan untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam penyebaran rakaman CCTV berkenaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Beliau berkata sehingga kini pihaknya tidak dapat untuk memaklumkan mengenai status syarikat kawalan keselamatan terlibat sama ada mahu menghentikan perkhidmatan atau pun tidak.
“Biar pihak polis menyiasat apakah punca kejadian. Setakat ini saya tidak boleh mengulas lanjut kerana kes ini masih dalam siasatan.
“Mengenai syarikat keselamatan terbabit juga kita masih belum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa laporan bedah siasat mangsa masih belum dikeluarkan oleh pihak hospital sehingga kini.
Dalam insiden yang berlaku pada pukul 6.18 petang Rabu, suspek yang merupakan pengawal keselamatan bank berkenaan menembak mati Norazita Abu Talib dengan ‘pump gun’ sebaik sahaja mangsa membuka pintu bilik kebal bank itu.
Supek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal bersama sejumlah wang dan kali terakhir dilihat memakai uniform pengawal keselamatan berwarna putih bersama jaket berwarna hitam.
Difahamkan suspek juga memiliki kad pengenalan palsu dengan menggunakan nama Ardi Hamza, berasal dari Tawau, Sabah.
Insiden berkenaan turut menjadi bualan hangat di laman media sosial dengan ramai pengguna turut berkongsi gambar mangsa ditembak berserta rakaman CCTV yang memaparkan situasi kejadian mangsa ditembak di kepala.
Khabar angin turut mengatakan suspek telah berjaya ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ketika cuba melarikan diri ke Sabah di Twitter pada pukul 11 pagi Khamis, bagaimanapun pihak polis mengesahkan berita berkenaan adalah palsu.