GEORGE TOWN: Seorang remaja, dipercayai bermain permainan komputer secara berterusan selama lebih 15 jam ditemui telah meninggal dunia dalam keadaan terlantar pada peralatan itu di biliknya di Bandar Baru Air Itam pada Isnin.
Ong Yee Haw, 23, yang keluar dari rumah untuk ke kafe siber pada Ahad petang, hanya pulang ke rumah pada kira-kira pukul 1 petang hari berikutnya.
Difahamkan bahawa dia pulang ke rumah dan terus bermain menggunakan komputernya di biliknya, di mana dia ditemui telah meninggal dunia oleh bapa saudaranya yang mahu memeriksa keadaannya pada kira-kira pukul 4 petang.
Ibu Ong, Chew Qun Juan, 62, berkata bahawa anak lelaki tunggalnya itu begitu ketagih dengan permainan komputer sejak dia berhenti kerja di sebuah restoran lima bulan lalu, selepas dia terlibat dalam satu kemalangan motosikal.
“Dia mengalami kecederaan di tangan kanannya dan berhenti kerja selepas itu.
“Saya telah mengingatkan dia berulang kali untuk tidak menghabiskan masa yang terlalu lama dengan bermain komputer tetapi dia tidak pernah dengar nasihat saya,” katanya di bilik mayat Hospital Pulau Pinang pada Selasa.
Upacara persemadian Ong akan dilakukan di krematorium Batu Gantung.