Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah supaya satu formula perhubungan dan orientasi baharu antara kerajaan Persekutuan dan negeri perlu diperkenalkan dalam ‘orde politik’ baharu.
Baginda bertitah langkah itu penting untuk tidak menyulitkan penjawat awam dalam menyempurna tugas mereka dan memastikan rakyat tidak menjadi mangsa pertelingkahan politik.
Menurut baginda penjawat awam menghadapi dilema ketika memenuhi tanggungjawab untuk mengimbangkan kesetiaan di antara pihak berkuasa negeri dan Persekutuan terutama dalam kalangan mereka yang ditempatkan di negeri dikuasai kumpulan politik berlainan parti dengan kerajaan Persekutuan.
“Konsep Federalisme berasaskan Perkara-perkara 73 hingga 95E Perlembagaan Persekutuan wajib difahami dan dihormati. Kelainan politik di antara negeri dan Persekutuan jangan sampai menjejaskan hubungan warga hingga menyebabkan mereka bersifat parokial kenegerian dan menghindar daripada tercapainya semangat muafakat dan hasrat berpadu.
“Perlu ada garis yang jelas di antara hubungan yang dipengaruhi kekangan politik, atas dasar parti dengan parti, dibezakan dengan hubungan kerja, antara kerajaan dengan kerajaan,” titah baginda dalam ucaptama pada Kongres Profesor Negara Kedua anjuran Majlis Profesor Negara di sini, Ahad.
Raja Nazrin bertitah sifat profesional iaitu sifat berkecuali perkhidmatan awam adalah penting untuk memastikan tataurus pentadbiran berteraskan undang-undang dipatuhi terutama melibatkan wang negara.
Titah baginda perkhidmatan awam wajib mengamalkan prinsip yang tidak bersekongkol dengan amalan yang salah.
“Perkhidmatan awam sewajarnya menjadikan teladan akan sifat kebijaksanaan Bendahara Melaka yang dapat membezakan antara yang betul dengan yang salah, antara keadilan dengan kezaliman, sebelum melaksanakan sesuatu arahan. “Perlu ada disiplin pemisah antara kesetiaan kepada negara, kesetiaan kepada warga dengan kesetiaan kepada individu,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut bertitah amalan mengetepikan status negeri adalah amalan yang boleh ditafsirkan sebagai tidak menghormati kedaulatan Raja dan tidak menghormati Institusi Yang Dipertua Negeri.
Raja Nazrin juga bertitah tema Hari Kebangsaan yang ditetapkan peringkat nasional sepatutnya diikuti oleh negeri-negeri.
Baginda menganggap negeri yang memilih tema sambutan berbeza dengan peringkat nasional adalah amat tidak sihat dan hendaklah dihentikan.
“Hari Kebangsaan adalah hari memperingati peristiwa bersejarah negara. Sambutan Hari Kebangsaan adalah peristiwa melambangkan penyatupaduan. “Warga hendaklah memisahkan emosi ketaksuban politik dengan peristiwa paling bersejarah dan paling bermakna kepada negara,” titah baginda.
Raja Dr Nazrin juga bertitah penyatupaduan nasional adalah satu kemestian bagi sesebuah negara demi memastikan kelangsungan hayat sesebuah negara.
Bagi mengolah formula penyatupaduan, baginda mengajak rakyat mengimbas kembali peristiwa 10 Julai 1957 ketika Tunku Abdul Rahman atas nama Ketua Menteri membentangkan usul penggubalan perlembagaan di Majlis Perundangan Persekutuan. “Ketika menyusun langkah ke arah mencapai impian gemilang, imbaslah kembali memori lama, selaras dengan kata pedoman orang tua ‘tersesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan.
“Negara ditubuhkan dan warga disatukan, berpaksikan semangat penyatuan dalam kepelbagaian; semangat yang termaktub dalam dokumen penting, dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda.
Baginda bertitah untuk mengolah formula penyatupaduan itu, ia memerlukan kesediaan berundur sebelum mara, memerlukan keberanian menerima realiti dan ketegasan mempertahankan prinsip. “Perlembagaan hendaklah kekal ditafsirkan berasaskan semangat yang menghormati kata sepakat yang telah dipersetujui,” titah baginda.
Kongres dua hari itu yang bertemakan ‘Gagasan Penyatupaduan Nasional’ disertai 600 profesor dari pelbagai bidang menghadiri kongres selama dua hari itu yang membincangkan lima topik utama iaitu konsep dan cabaran penyatupaduan nasional; keadilan dan sosioekonomi; sains dan pendidikan; jati diri dan patriotisme serta globalisasi dan ketahanan nasional.
Resolusi kongres itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penutupan kongres malam ini.