Pasar Raja Bot atau lebih dikenali sebagai Pasar Chow Kit ditutup selama dua hari mulai Selasa bagi memberi laluan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora menjalankan aktiviti operasi pembersihan.
Operasi pembersihan bersepadu yang julung kali diadakan selepas lapan tahun itu membabitkan kira-kira 1,000 pekerja Alam Flora, DBKL, peniaga dan penjaja di pasar berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sosio-Ekonomi) DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata operasi pembersihan ini bertujuan mengurangkan populasi tikus yang sinonim dengan pasar Chow Kit selain persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2014.
“Operasi ini mengggunakan jentera penyedut dan penembak air. Sebelum ini kerja pembersihan sukar kerana aktiviti perniagaan yang sibuk setiap hari,” katanya dalam sidang media sempena penutupan dan operasi pembersihan pasar tersebut di sini, Selasa.
Katanya, pada operasi kali ini, pihaknya lebih menumpu kepada meracun dan menangkap tikus di samping menurap semula laluan yang berlubang, melupuskan barang tidak terpakai dan menyimen semula lantai restoran di sekitar pasar yang rosak.
“Tikus-tikus ini akan dikutip pada keesokan harinya dan kerja-kerja pembersihan akan terus berjalan sehingga petang di mana kita akan pastikan ia benar-benar bersih sebelum dibuka semula Khamis ini” katanya.
Turut serta Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Mohd Zain Hassan dan Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Rosli Sulaiman.
Mengulas lanjut, Mhd Amin berkata, DBKL juga akan terus memantau tahap kebersihan di pasar Chow Kit selepas operasi ini dan tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun, menyita atau membatalkan lesen peniaga dan penjaja jika gagal mematuhi arahan kebersihan, sebanyak tiga kali berturut-turut.
Beliau turut menegaskan para peniaga dan penjaja supaya berdisiplin dalam menjaga kebersihan premis masing-masing dengan membuang sampah ke dalam tong RoRo yang disediakan sekali gus mengelak kewujudan tikus, lipas dan binatang perosak lain.
Pasar Chow Kit mempunyai seramai 1,139 peniaga dan penjaja.
Dari Jan hingga 10 Nov tahun ini, 7,385 tikus ditangkap di pasar berkenaan hasil Kempen Pembasmi Tikus ‘1 Tikus 1 Ringgit’ bermula 13 Mac hingga 12 Mei lepas.
Beliau berkata, selain Pasar Chow Kit, Pasar Pudu dan Pasar Keramat akan turut melalui proses pembersihan yang sama.
Dalam pada itu, bagi menyediakan pasar basah bertaraf pasar raya yang lebih bersih dan selesa, Mhd Amin berkata proses pemindahan para peniaga ke tapak sementara akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga pembinaan bangunan kekal yang dijangka siap, dalam tempoh tiga tahun.
Sehingga kini seramai 110 peniaga dan penjaja telah berpindah ke tapak sementara yang baharu.