MARAN: Seorang lelaki yang bertindak menyerang anggota polis sebelum merampas sepucuk pistol dan melarikan kenderaan peronda polis di susur keluar Tol Chenor Lebuh Raya Pantai Timur tengah malam Rabu dipercayai mengalami masalah mental.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, suspek yang berumur 22 tahun turut bertindak melepaskan empat das tembakan secara rambang keluar dari kenderaan yang dilarikannya itu.
Suspek sebelum itu dikatakan sedang berzikir sendirian di atas motosikalnya yang diletakkan di tengah laluan susur keluar tol itu dan bertindak menyerang anggota terbabit ketika anggota tersebut cuba memujuknya untuk mengalihkan motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Maran Pemangku DSP Sulaiman A Hamid berkata suspek menyerang menggunakan kunci tambahan motosikal berbentuk U yang berada di dalam raga motosikalnya.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan seorang anggota terjatuh sebelum suspek meluru merampas pistol di pinggang anggota itu lalu mengacu pistol tersebut kepada semua lima anggota polis di tempat kejadian.
“Suspek kemudian melarikan kenderaan polis yang tidak dimatikan enjinnya ke arah Pekan Awah. Suspek membawa kenderaan tersebut berlegar-legar di sepanjang jalan utama Pekan Awah-Chenor dan ketika itu suspek melepaskan empat das tembakan secara rawak ke arah luar kereta, namun tidak mengenai sesiapa,” katanya kepada pemberita di sini Khamis.
“Pihak polis menggunakan kenderaan polis lain mengekori kereta polis yang dilarikan suspek dan usaha memujuk juga dilakukan dengan bantuan keluarga suspek tapi gagal,” katanya.
Sulaiman berkata selepas hampir lima jam memandu kenderaan polis itu, suspek mula memandu secara berbahaya.
Kenderaan dipandu suspek kemudiannya terbabas dan merempuh perhentian bas di lokasi berdekatan persimpangan masuk ke Kampung Bukit Lada, Chenor.
“Pihak polis terpaksa memecahkan cermin belakang kenderaan itu bagi mengeluarkan suspek yang cedera di kepala dan tidak sedarkan diri.
“Suspek kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut menggunakan kenderaan polis,” katanya.
Sulaiman berkata suspek yang berasal dari Kampung Jengka Batu 13, Chenor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada pukul 7.58 pagi.
Pihak polis turut menemui semula pistol jenis Walther P99 bersama 11 butir peluru di dalam kenderaan yang dilarikan itu.