Ucapan Dasar Presiden UMNO semalam telah menggariskan lima transformasi UMNO untuk memastikan parti kekal relevan di masa akan datang. Lima transformasi tersebut ialah Memperteguhkan Ekonomi Melayu dan Bumiputera, Mempertegak Maqasid Syariah, Memperkukuh Pengkaderan parti, Mempersiaga jentera transformatif, dan Menetap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) UMNO.
Akhir-akhir ini, UMNO sering ditekan dan dicabar dari segenap arah. Kemelayuan UMNO dijadikan satu masalah, keIslaman UMNO yang sebelum ini dipersoal oleh PAS, kini dibimbangi pula oleh DAP. Lalu, mereka terus mentohmah UMNO sebagai rasis dan juga kolot. Mereka mengasak agar UMNO bertukar arah dan identiti agar tidak lagi menjadi Melayu atau Islam sejati. Kata mereka lagi, UMNO mengabaikan hak asasi dan meminggirkan minoriti dan juga LGBT.
Bagi musuh-musuh UMNO, apa saja yang UMNO lakukan adalah salah dan tidak kena. Malah, kewujudan UMNO itu sendiri bagi mereka, adalah tidak kena.
Biarpun negara ini terhutang budi kepada UMNO dan pemimpinnya, namun UMNO tetap menjadi mangsa cemuhan dan permusuhan sebahagian rakyat yang enggan mensyukuri nikmat pemerintahan adil.
Dapatkah kita bayangkan keadaan negara ini jika bukan diperintah oleh UMNO ketika ancaman komunis dan juga 13 Mei? Apakah Malaysia mampu makmur seperti hari ini? Apakah kita mampu mempunyai kehidupan yang selesa seperti sekarang dan apakah ada di antara kita yang mampu menjadi mewah dan memiliki rangkaian hartanah?
Pernahkah kita terfikir, bagaimanakah agaknya rupa Malaysia jika bukan UMNO yang menjadi tunjangnya?
Jika benar UMNO begitu rasis, begitu kolot, begitu korup, apakah Malaysia mampu berdiri sebagai sebuah negara Islam membangun yang gah di mata dunia? Bukankah ini satu soalan yang jelas sekali jawapannya?
Namun, kadangkala ada sahaja pemimpin yang tidak mampu menghadapi segala tekanan dan cabaran ini serta mula melonggarkan kedudukan.
Justeru, ramai yang khuatir kalau-kalau UMNO tergelincir dari landasan dan tidak mampu meneruskan perjalanan. Pedih sekali untuk diakui bahawa UMNO telah pun memperlihatkan tanda-tanda sedang tergelincir dan ragu-ragu untuk mencapai destinasi.
Bagaimanapun, sekali lagi ucapan Presiden UMNO membuktikan bahawa beliau tidak pernah keliru atau ragu-ragu dengan arah tuju perjalanan UMNO. 5 Transformasi yang digariskannya jelas menunjukkan yang UMNO masih di landasan yang asal.
Melayu dan Islam kekal menjadi tonggak utama dan itu sudah cukup untuk akar umbi mengeluh lega. Selebihnya adalah terletak pada perlaksanaan tranformasi oleh jentera dari proses pengkaderan yang semestinya dipantau melalui KPI parti.
Kita tidak ragu-ragu lagi, sekiranya kelima-lima transformasi ini berjalan lancar, maka tiada apa lagi yang harus dikhuatiri oleh ahli-ahli akar umbi mahupun rakyat Malaysia keseluruhan.
Semalam, Presiden telah meniup wisel agar kita memperkukuh kuda-kuda dan memperkemas kisi-kisi. Jelas, beliau juga tidak merestui mana-mana pemimpin untuk melonggarkan kedudukan mereka dalam menghadapi cabaran ini. Hanya keyakinan dan kepastian atas pendirian sendiri yang mampu mengembalikan ‘keramat’ UMNO dalam mendaulatkan agama bangsa dan negara.
UMNO perlu berdiri teguh, kemas dan segak atas nama Melayu dan Islam seperti azalinya. UMNO telah berjaya melakukannya tanpa menindas kaum lain dan tidak ada sebab bagi mana-mana pihak untuk mempersoalkan kenapa UMNO tidak boleh meneruskan cara yang sama.
UMNO tidak pernah berbuat salah kepada sesiapa dan tidak perlu membela diri kepada sesiapa.
UMNO bukan rasis, biarpun ia bernafas atas nama Melayu. Buktinya ada di sekeliling kita.