BUTTERWORTH 12 Dis. – Seorang pemilik restoran nyaris maut setelah ditembak beberapa das oleh dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal di Taman Inderawasih, di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, dalam kejadian pukul 8.50 malam itu mangsa yang berusia 52 tahun, baru pulang dari restorannya yang terletak kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.
“Ketika kejadian, mangsa yang sedang memandu kereta jenis Honda CRV ingin membelok masuk ke simpang rumahnya sebelum didatangi dua lelaki bermotosikal yang bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arahnya.
“Tembakan itu tidak mengenai mangsa kerana beliau sempat memecut keretanya untuk berpatah semula ke restorannya, sebelum menghubungi polis,” katanya kepada pemberita ketika melawat tempat kejadian, lewat malam tadi.
Mazlah berkata, penunggang dan pembonceng motosikal yang berusia antara 20 hingga 30 tahun itu, bertindak melarikan diri sebaik melepaskan tembakan.