Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei merangkul gelaran ketujuh tahun ini selepas mudah menewaskan pemain Indonesia, Tommy Sugiarto 21-10, 21-12 dalam aksi final Siri Super Akhir di Stadium Badminton Kuala Lumpur Cheras, sebentar tadi.
Ia juga adalah gelaran Siri Super Akhir keempat buat pemain nombor satu dunia itu selepas menjuarainya pada 2008, 2009 dan 2010.
Chong Wei membuktikan statusnya selaku jaguh dunia apabila berjaya mengungguli saingan dalam enam kejohanan tahun ini bermula Terbuka Korea, Terbuka Malaysia, Terbuka India, Terbuka Indonesia, Terbuka Jepun dan Terbuka Hong Kong.
Selaku juara Chong Wei membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah USD$40,000 (RM129,288).