YANGON: Kejayaan skuad hoki wanita mencipta rekod dunia dengan menghasilkan 36 gol ketika menentang Kemboja pada perlawanan kedua pusingan awal semalam memberikan suntikan semangat untuk mempertahankan pingat emas temasya Sukan SEA ke-27, Myanmar.
Kapten pasukan Nadia Abdul Rahman berkata kejayaan skuad kebangsaan itu adalah hasil kerjasama sepasukan yang tidak pernah mengambil mudah dalam setiap perlawanan dan mahu pasukannya tetap fokus mencari mata kemenangan pada saingan seterusnya nanti.
“Memang satu kejayaan buat pasukan, dulu kami pernah dibelasah 18-0 dengan Australia, kekalahan itu memberi pengajaran kepada kami untuk beraksi dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini Ahad.
Sementara itu pemain hoki wanita kebangsaan Noor Hasliza Md Ali yang menjaringkan tujuh gol pada perlawanan semalam berkata beliau berazam untuk menghasilkan lebih banyak gol pada perlawanan ketiga menentang Singapura pada Isnin.
“Saya terkejut juga dapat menjaringkan tujuh gol dalam satu perlawanan, memang sangat bangga skuad negara dapat menandingi rekod dunia dengan 36 gol.
“Semestinya, dalam setiap perlawanan kita mahu menjaringkan banyak gol, jadi saya akan cuba untuk mencari peluang meraih lebih banyak gol pada perlawanan seterusnya nanti” katanya kepada pemberita di sini Ahad.
Pada Sabtu, skuad kebangsaan melakar kejayaan dengan mencipta rekod dunia apabila menghasilkan jaringan gol sebanyak 36-0 ketika menewaskan Kemboja pada perlawanan pusingan awal di Stadium Hoki Theinphyu, Yangon.
Sebelum ini, rekod jaringan paling besar dipegang Argentina apabila menumpaskan Peru 26-0 pada Kejohanan Wanita Amerika Selatan di Santiago, Chile, pada 23 Mac 2003.
Kemudian Thailand menyamakan rekod itu dengan mengalahkan Kemboja 26-0.
Selaku juara bertahan, Malaysia akan menentang Singapura esok, kemudian Thailand pada hari berikutnya dan melengkapkan jadual pusingan awal dengan bertemu Indonesia, Khamis ini.