Bagaikan muka tembok ahli Parlimen PKR Kuantan Fuziah Salleh muncul lagi membuat “bising gelombang kedua” mengenai persiapan Kerajaan dalam menghadapi gelombang kedua bencana banjir yang diramalkan berlaku pada Jumaat.
Merujuk kepada kenyataan media majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Rabu mengenai perkembangan terkini status bencana banjir seluruh negara dan persiapan Kerajaan menghadapi gelombang kedua musibah itu, Fuziah yang juga Naib Presiden PKR mengutuskan surat terbuka kononnya mengalu-alukan persiapan Kerajaan Pusat serta MKN.
Bagaimanapun Fuziah dalam surat yang disiarkan dalam lidah rasmi PAS Harakah Daily itu jelas tidak ikhlas.
Sambil mengalukan-alukan semua langkah yang digariskan oleh Setiausaha MKN Datuk Mohammad Thajudeen Abdul Wahab, terutama mengenai atur gerak aset dari negeri-negeri yang tidak terjejas banjir, Fuziah dengan sinikal berkata “Alangkah baiknya sekiranya MKN telah berbuat demikian sewaktu Gelombang Pertama dahulu.”
Beliau bagaikan tidak merasa bersalah dan malu atau mengandaikan seolah-olah rakyat tidak tahu bahawa tidak banyak yang dapat dilakukan oleh pembangkang dan beliau sendiri bagi membantu lebih 107 ribu mangsa banjir di lima buah negeri yang teruk dilanda bencana itu berbanding apa yang dilakukan Kerajaan Pusat.
“Di dalam keadaan yang sungguh gawat ketika itu, saya berasa amat kesal kerana MKN lambat bertindak dan lambat pula mengambil langkah-langkah korektif daripada pengurusan banjir secara biasa kepada pengurusan banjir secara luar biasa,” kritik Fuziah dalam suratnya.
Beliau seolah lupa ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin bergilir-gilir bergegas menaiki helikoper, trak tentera dan menyingsing seluar meredah bah bagi meninjau banjir yang melanda negeri, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sedang berada di Washington DC Amerika Syarikat, malah sempat bergambar mesra dengan Natalia, pelajar jelita sebuah universiti di sana.
Sama ada beliau “buta hati” atau terlalu sombong untuk mengakui bahawa agensi-agensi dan jabatan Kerajaan Persekutuan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketiga-tiga cabang, MKN, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan lain-lainlah yang berada di barisan hadapan membantu mangsa.
Bukan setakat mengerah ribuan anggota dan kakitangan, malah pebagai jenis aset bernilai jutaan ringgit turut digembeleng bagi membantu mangsa dalam segala aspek – dari menyelamat dan memindahan mangsa ke pusat-pusat pemindahan, mengangkut segala macam bekalan logistik seperti bekalan makanan dan stok ubat-ubatan, hinggalah kepada menyalurkan pelbagai jenis bantuan dan sumbangan.
“Akhir kata saya ingin menyeru supaya MKN sendiri bersifat lebih profesional di dalam menangani insiden banjir Gelombang Kedua ini sekiranya berlaku (doa dijauhkan Allah). Juga diharap tidak sekali-kali di politikkan isu ini. Dan sama-samalah kita bantu membantu di antara satu sama lain tanpa mengira sempadan politik,” ujar Fuziah lagi dipenghujung warkah beliau.
Siapa yang sibuk bermain politik?
Bukankah Fuziah yang sibuk membuat bising dan kecoh mahu membentangkan usul tergempar di Dewan Rakyat, menghamburkan pelbagai kenyataan melalui laman sosial serta media pembangkang, mengkritik, menghentam dan mempersoalkan semua tindakan yang diambil oleh kerajaan bagi membantu mangsa banjir ketika sejumlah besar warga pihak kerajaan – dari perdana menteri, menteri, pegawai hinggalah ke peon sibuk membantu mangsa di zon bencana?
Rasanya lebih molek jika Fuziah menghormati kata-kata beliau sendiri untuk tidak mempolitikkan isu bantuan banjir ini dengan mengurangkan “menyalak” sana sini, sebaliknya lebihkan bekerja berganding bahu sama-sama membantu.
Tidak perlulah Fuziah cuba menutup segunung kelemahan dan kekurangan diri sendiri dengan mengorek-ngorek mencari sekelumit kesilapan pihak lain.
Lebih bagus Fuziah menjuarai usaha membantu rakyat di kawasan di mana beliau dipilih sebagai ahli Parlimen memandangkan semua agensi dan jabatan kerajaan pusat, termasuk menteri-menteri tidak pernah mengambil kira sempadan politik atau bertanyakan kecenderungan politik mana-mana mangsa ketika menghulurkan bantuan.-bnbbc.my