Jumaat lalu Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli membuat satu lagi cubaan untuk menonjolkan dirinya dengan mendakwa ada kemungkinan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah menjual aset negara sebagai langkah terakhir untuk mencapai sasaran bajet defisit negara.
Rafizi memetik halaman sepuluh laporan terkini Bank Dunia, ‘Malaysia Economic Monitor: December 2013′ yang disifatkan beliau memperincikan rancangan kerajaan untuk mencapai sasaran defisit empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tahun 2013 berbanding 4.5 tahun sebelumnya.
Halaman 10 laporan itu menyebut “daripada tambahan RM11.8 bilion pendapatan yang dijangka diperoleh berbanding anggaran bajet, RM7.4 bilion berasal daripada sumber-sumber bukan cukai, termasuk RM1.4 bilion hasil daripada penjualan aset dan RM4.2 bilion daripada pensekuritian gadai janji kerajaan.”
Beliau yang berharap “pembongkaran” itu menjadi berita besar mendakwa terkejut kerajaan sanggup menjual dan menggadai aset negara sambil memaklumkan akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada malam itu juga bagi membolehkan pembangkang memohon sidang tergempar Parlimen diadakan secepat mungkin.
Sebaliknya, Rafizi yang juga ahli Parlimen PKR Pandan kurang cermat kerana yang dibongkarkan sebenarnya adalah kejahilan dan sikap melulu beliau sendiri yang membuat kesimpulan secara membabi buta menggambarkan “kerajaan terdesak” tanpa lebih dahulu membuat kajian teliti.
Mungkin kerana menyangka sudah menemui satu lagi “kesalahan besar kerajaan BN”, politikus muda itu tergopoh-gapah membuat pendedahan kepada media untuk segera meraih kelebihan politik (political mileages) sebelum pemimpin pembangkang lain berbuat demikian.
Dek kerana tidak mengkaji fakta dengan mendalam dan sikap “bodoh sombong” tidak mahu bertanya, Rafizi tidak sedar bahawa penjualan aset kerajaan dan pensekuritian gadai janji adalah amalan biasa yang diterima di seluruh dunia manakala di Malaysia ia dilaksanakan sejak tahun 2004 lagi.
Pensekuritian gadai janji (penjualan pinjaman yang diberikan oleh kerajaan) mula dibuat pada September 2004 apabila kerajaan melalui Cagamas MBS Berhad menawarkan pengambilalihan pinjaman perumahan kakitangan Kerajaan Malaysia kepada pelabur yang berminat.
Dalam bahasa mudah, kerajaan menjualkan pinjaman yang dikeluarkannya kepada pelabur bagi mendapatkan semula wang tunai yang dikeluarkan sebagai pinjaman, malah sudah tentunya dengan margin keuntungan tertentu.
Penjualan aset juga adalah amalan biasa di mana kerajaan akan melepaskan pegangan (menjual) ke atas aset-aset bukan teras (non-core asset) bagi memperolehi kecairan (wang tunai) dan ini dilakukan ketika nilai aset terbabit meningkat pada nilai tinggi, bermakna kerajaan tidak rugi.
Untuk pengetahuan Rafizi juga persoalan penjualan aset serta gadai janji kerajaan ini sudahpun dibangkitkan oleh Timbalan Presiden PKR yang juga ahli Parlimen PKR Gombak, Azmin Ali dalam sidang Dewan Rakyat Mac 2012 apabila beliau bertanya mengenai parameter yang digunakan oleh Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) apabila melupuskan aset.
Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Donald Lim memaklumkan hasil penjualan aset bukan teras dari semasa ke semasa dalam tempoh tujuh tahun, Khazanah Nasional telah memcatat keuntungan RM13.6 bilion.
Dewan Rakyat juga dimaklumkan bahawa dari Mei 2004 hingga akhir tahun 2011, Khazanah menjual aset bukan teras bernilai RM31.7 bilion yang menjana keuntungan kira-kira 43 peratus.
Sehubungan itu, mungkin ramai yang ingin tahu apa agaknya yang terjadi dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada malam Sabtu (20 Disember) lalu apabila Rafizi membangkitkan penemuannya dalam laporan Bank Dunia itu?
Ini kerana selepas 3 hari berlalu, isu itu nampaknya tidak pula diperbesar-besarkan oleh pemimpin pembangkang yang lain.
Apa agaknya jawapan Azmin yang tentunya masih ingat pernah menyoal mengenai isu berkenaan di Parlimen kepada Rafizi yang baru kali pertama bergelar ahli Parlimen setelah menang dalam Pilihanraya Umum ke-13 Mei lalu?
Manakala Rafizi sendiri pula, bilakah agaknya hendak belajar dari kesilapan sendiri yang sudah banyak kali “kantoi” kerana salah fakta.
Mungkin Rafizi lebih dahulu kena kaji dengan mendalam dan fahami makna pepatah Melayu ini – Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan dalam hendak diduga.-bnbbc.my