Penafian Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bahawa beliau tidak terbabit dengan sebaran email yang mengaitkannya dengan seorang individu bernama Rahim Ghouse yang didakwa mendalangi komplot ancaman bom menjelang perhimpunan rakyat pada 31 Disember ini, semakin menarik.
Beliau sudah dipanggil polis untuk membantu siasatan, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Hadi Ho Abdullah dalam satu kenyataan, Ahad.
Ini membuktikan polis tetap memandang serius terhadap penyebaran emaill yang dikatakan dihantar oleh Rahim Ghouse kepada Rafizi mengenai rancangan letupan di beberapa kawasan strategik sempena sambutan Tahun Baru.
“Orang ramai dinasihatkan supaya menghormati keamanan dan ketenteraman di negara ini di samping menyambut kedatangan tahun baru,” kata Hadi lagi.
Setakat ini , sejumlah 1151 laporan polis diterima dari seluruh negara terhadap bantahan penganjuran perhimpunan memudaratkan ketenteraman awam yang disebarkan melalui media sosial sebelum ini.
Pelbagai pihak sebelum ini telah mendesak pihak PDRM bertindak segera menahan dan mengambil tindakan mana-mana individu atau pemimpin politik yang terbukti menjadi dalang dan menghasut rakyat supaya menghadiri perhimpunan haram itu.
Tindakan PDRM untuk terus menyiasat email sangat tepat kerana pihak pembangkang memang terkenal jika sudah kantoi akan menyalahkan pihak lain terutamanya UMNO untuk menanggung kesilapan itu.
Jawapan paling mudah yang selalu diberi “Ini fitnah UMNO” seolah-olah ianya seperti zikir wajib yang sering dilafazkan setiap kali perancangan mereka gagal atau terbongkar.
Ahli Parlimen Pandan itu sendiri pada Sabtu menggesa polis menyiasat satu entri blog pro-UMNO yang mendedahkan email tersebut dan mendesak PDRM mengambil tindakan tegas terhadap blogger terbabi.
Rafizi mendakwa blogger hanya mereka-reka email tersebut sambil menyifatkannya sebagai ‘fitnah luar biasa’ kerana ia membabitkan ancaman bom serta boleh menggugat ketenteraman awam.
“Ia lebih berbahaya apabila polis tidak mengambil tindakan terhadap fitnah-fitnah seperti ini yang boleh menghuru-harakan ketenteraman awam.
“Apabila ada fitnah yang menyalahgunakan internet sewenang-wenangnya seperti menakut-nakutkan rakyat dengan bom dan sebagainya, polis sepatutnya mengambil tindakan dan tangkap blogger-blogger UMNO terbabit,” katanya.
Kandungan e-mel tersebut memberi peringatan supaya peserta dan pimpinan pembangkang yang turun menyertai himpunan 31 Disember itu supaya mengelakkan daripada berada di lima lokasi berkenaan, antaranya persimpangan lampu isyarat berdekatan pusat membeli-belah Sogo, Puduraya, bulatan Kereta api Tanah Melayu (KTM)-berdekatan Masjid Negara, LRT Masjid Jamek dan komuter Bank Negara.
Bagaimanapun, Rafizi menyatakan beliau tidak akan mengambil tindakan susulan dan menganggap ianya tiada keperluan untuk melaporkan kepada pihak polis kerana dakwanya secara terang-terangan blogger terbabit mengakui jika dakwaan itu palsu pun pihak berkuasa perlu melakukan siasatan.