Dari segi politik tanah air di Semenanjung, 2013 signifikan sebagai tahun pemilihan saf kepimpinan baharu parti-parti politik utama dengan ada yang diwarnai kontroversi.
Keputusan pemilihan pula bercampur aduk, ada yang mengekalkan wajah lama untuk peringkat tertinggi antaranya Umno, MIC, PAS dan DAP, manakala MCA dan Gerakan kini diteraju pemimpin pelapis.
Umno melaksanakan pemilihan parti pada Oktober selepas menangguhkannya selama 18 bulan dengan perubahan besar dalam cara pemilihan, susulan pindaan perlembagaan parti pada 2009.
Pindaan yang antara lain bertujuan mengekang politik wang dalam parti itu, membolehkan lebih 150,000 anggotanya di akar umbi memilih pucuk pimpinan parti di semua peringkat, berbanding hanya 2,500 perwakilan parti sebelum ini.
Pelaksanaan sistem ala ‘electoral college’ itu membuktikan kesungguhan Umno untuk menjadi parti yang lebih terbuka, inklusif dan lebih demokratik seperti yang dicitra Presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pemilihan itu menyaksikan anggota parti sepakat mengekalkan Najib dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pemimpin tertinggi, apabila kedua-duanya menang tanpa bertanding bagi jawatan masing-masing.
Status quo kekal untuk tiga jawatan naib presiden dan ketua sayap Pemuda serta Wanita, manakala Puteri Umno diteraju muka baharu setelah Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin melepaskan jawatan kerana melepasi had umur.
Pemilihan MCA yang berlangsung dari 19 hingga 21 Dis pula menyaksikan perubahan ketara dalam barisan kepimpinan pusat termasuk peringkat sayap.
Keputusan pemilihan pemimpin pusat menyaksikan Datuk Seri Liow Tiong Lai menjadi presiden baharu, mengalahkan bekas Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan Naib Presiden Gan Ping Sieu.
Selain itu, 2,352 perwakilan parti turut mengangkat bekas Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong sebagai timbalan presiden, mengalahkan Datuk Donald Lim Siang Chai.
Saf baharu ini diharap dapat menyelesaikan pelbagai masalah dalaman parti itu termasuk krisis terbuka antara Liow dan bekas Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang memilih untuk tidak mempertahankan jawatannya.
Pemilihan MIC pula ada drama apabila Datuk Seri G. Palanivel yang menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden pada hari penamaan calon awal September, menyatakan hasrat untuk terus meneraju parti melangkaui tempoh penggalnya iaitu 2013-2016.
Kenyataan itu mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini Palanivel bersetuju melepaskan jawatan tersebut pada 2016 bagi memberi laluan kepada Timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam, dalam langkah memperkukuh parti dan mengelak politik pecah belah.
Seminggu selepas membuat pengumuman itu, Palanivel menarik balik kenyataannya dan bersetuju untuk menjadi presiden selama sepenggal sahaja.
Pemilihan turut menyaksikan Dr Subramaniam mempertahankan jawatan timbalan presiden tanpa bertanding.
Tahun 2013 juga menyaksikan transisi kepimpinan tertinggi parti Gerakan apabila Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang menjadi presiden pada 2008, melepaskan jawatannya untuk dipangku timbalannya pada masa itu Datuk Chang Ko Youn.
Dalam pemilihan parti pada 26 Okt, Datuk Mah Siew Kiong dipilih sebagai presiden baharu, mengalahkan Datuk Teng Chang Yeow dengan perbezaan 509 undi.
Berbeza dengan pemilihan parti komponen Barisan Nasional yang secara amnya tidak banyak mencetuskan kontroversi, pemilihan parti-parti dalam pakatan pembangkang ibarat menjilat ludah sendiri.
Ini kerana jika sebelum ini mereka sering menuduh pilihan raya di negara ini tidak demokratik, pemilihan parti masing-masing menyaksikan mereka pula dipertikai anggota sendiri.
Pemilihan PAS misalnya tidak mempunyai banyak masalah bagi dua jawatan tertinggi yang menyaksikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dicabar sebagai presiden, sementara Mohamad Sabu mempertahankan jawatan timbalan dengan mengalahkan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah,
Bagi pemilihan anggota jawatankuasa pusat lain pula kisahnya apabila PAS malu besar kerana terpaksa membuat pengundian semula malah mengambil masa dua hari untuk mengira undi bagi jawatan naib presiden, sekalipun jumlah perwakilan yang mengundi tidak sampai 1,500 orang.
Sementara itu pada 29 Sept lepas, DAP mengadakan pemilihan semula bagi 20 jawatan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam satu kongres khas selepas keputusan pemilihan terdahulu tidak diiktiraf Pendaftar Pertubuhan (ROS) setelah ketelusan proses pemilihan dan keputusan CEC pada hujung 2012 tersebut dipertikai anggota parti.
Kontroversi DAP belum berakhir kerana sehingga kini ROS masih belum mengiktiraf kepimpinan baharu parti itu serta melarang CEC daripada membuat sebarang keputusan.
Ini tidak termasuk krisis kepimpinan DAP Kedah yang masih belum terungkai.
Sekalipun suhu politik semakin dingin tatkala 2013 menghampiri penghujungnya, ramai menjangka kawah politik tanah air akan kembali membuak panas apabila Parti Keadilan Rakyat mengadakan pemilihannya Mei depan.