2013: Kedah Bertukar Kerajaan - pakdin.my

mukhriz

Tahun 2013 menyaksikan kuasa memerintah negeri Kedah kembali semula kepada Barisan Nasional (BN) berikutan kemenangan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu.

BN Kedah, yang prestasinya dianggap luar biasa ketika sokongan kepada BN di peringkat persekutuan dan banyak negeri dikatakan merosot pada PRU13, menang majoriti mudah bagi menguasai 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PAS (sembilan), DAP (dua), PKR (empat).

Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang bertanding bagi kerusi DUN Ayer Hitam mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu sehari selepas PRU13 itu.

Pemerhati politik berpendapat pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam sebelum hari pengundian dengan menamakan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah jika BN menawan semula negeri ini dilihat menjadi faktor penting kepada kejayaan BN menguasai semula Kedah.

Ia dikatakan menjadi tarikan kepada pengundi muda, atas pagar dan pengundi dari luar untuk memberi sokongan kepada BN kerana yakin terhadap kewibawaan Mukhriz sebagai menteri besar yang baharu.

Faktor lain yang turut menyebabkan BN kembali menjadi pilihan adalah kegagalan kerajaan negeri sebelum ini yang diterajui PAS dalam membawa pembangunan yang dijanjikan selain perbalahan sesama sendiri pemimpin parti yang membentuk kerajaan negeri sebelum ini.

Selepas menguasai semula Kedah, kerajaan negeri yang diterajui Mukhriz tidak menunggu lama dalam merancang usaha melaksanakan manifesto atau AkuJanji BN negeri pada PRU13 lalu menerusi slogan ‘Kedah Aman Makmur: Bersama Memacu Transformasi’.

Beliau juga dilihat bersungguh-sungguh untuk keluar daripada bayangan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, dan membuktikan kebolehan beliau tanpa bergantung kepada faktor ‘bin’ beliau.

Dalam menjana idea terbaik untuk membangunkan Kedah, kerajaan negeri menganjurkan Makmal Transformasi Kedah (MTK) selama dua minggu pada September lalu, dengan MTK menjadi platform untuk pelbagai pihak berkepentingan mengutarakan idea serta cadangan bagi membangunkan Kedah menjadi negeri maju.

Mukhriz memberikan tumpuan untuk membangunkan industri berteknologi tinggi tetapi pada masa sama mahu mengekalkan status Kedah sebagai negeri Jelapang Padi, yang menjadi sumber utama beras negara.

Mukhriz juga meneruskan usaha-usaha kerajaan negeri terdahulu yang beliau anggap baik dan tidak patut dihentikan, antaranya pemberian sumbangan kepada guru al-Quran sukarela dan bidan kampung yang beliau teruskan sebaik menjadi Menteri Besar.

Bagi beberapa perkara yang menjadi ‘duri dalam daging’ kepada kerajaan negeri terdahulu, beliau telah mengambil langkah-langkah perlu untuk menyelesaikannnya.

Isu penebangan hutan secara tidak terkawal sehingga banyak kawasan terutama di Tasik Pedu ‘dibotakkan’ paling beliau berikan perhatian.

Tidak lama selepas dilantik sebagai Menteri Besar, Mukhriz mengarahkan semua aktiviti pembalakan di negeri ini dihentikan sementara supaya kajian semula dapat dilakukan bagi mengelakkan aktiviti itu memberi kesan kepada alam sekitar dan rakyat.

Isu besar yang melanda pentadbiran terdahulu iaitu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan masalah berbangkit seperti masalah kewangan dan ketiadaan asrama di kampus induk kolej universiti milik kerajaan negeri di Kuala Ketil itu.

Dalam pembentangan Bajet negeri November lepas, kerajaan Kedah menyatakan komitmennya untuk memberi perhatian khusus kepada usaha membasmi kemiskinan di negeri ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi di Kedah dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat.

Tahun 2013 juga merupakan saat sedih buat rakyat Kedah dengan pemergian bekas Menteri Besar Tan Sri Azizan Abdul Razak, pemimpin PAS yang amat dihormati segenap lapisan masyarakat dan pemimpin parti politik termasuk parti lawan.

Azizan, 69, meninggal dunia pada 26 Sept lalu di Hospital Sultanah Bahiyah selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius, iaitu sehari selepas PRU13.

Azizan yang menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Limau sejak 1995, menang untuk kali kelima pada PRU13, dalam pertandingan empat penjuru termasuk mengalahkan sepupu beliau Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN, dengan majoriti 2,774 undi.

Azizan yang menjadi Menteri Besar Kedah selepas PRU12 pada 2008 sehingga 5 Mei lepas mempunyai hubungan yang baik dengan ramai pemimpin BN, malah hubungan baiknya dengan pemimpin Umno dan BN ‘dicemburui’ pemimpin dan anggota PAS sendiri.

Berikutan kematian Azizan, Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau diadakan pada 4 Nov.

PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN tersebut apabila calonnya Mohd Azam Abd Samat memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang mendapat 10,985 undi, untuk menang dengan 1,084 undi.

UTAMAPOLITIK2013: Kedah Bertukar Kerajaan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium