Kira-kira 20 anggota Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang diiringi polis menyerbu Persatuan Bible Malaysia (PBM) di Damansara Kim di sini.
Ahli majlis eksekutif PBM, Nic Ng berkata sebanyak 321 salinan Alkitab, 10 salinan Bible Iban – Bup Kudus dan 20 salinan Luke Gospel dalam versi Bahasa Melayu dirampas dalam serbuan itu.
Ng berkata polis mengarahkan pengerusi persatuan itu, Lee Min Choon dan setiausaha agungnya, Simon Wong untuk menemani mereka ke balai polis Damansara utama bagi memberikan keterangan.
Katanya, premis persatuan itu ditutup pada Khamis untuk pemeriksaan stok ketika pegawai penguatkuasaan tiba di sana.
Ng berkata pada mulanya kakitangan persatuan itu tidak membenarkan pegawai penguatkuasaan tersebut untuk memasuki premis kerana mereka tidak mempunyai waran.
“Pekerja menghubungi saya dan saya turut dimaklumkan bahawa Jais tiada kuasa ke atas kami,” katanya.