PAS tidak perlu tunggang tungging atau cuba main silap mata dalam isu penggunaan kalimah Allah di kalangan orang bukan Islam di negara ini kerana pemimpin mereka sudah menegaskan bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif dan mutlak umat Islam.
Lagipun, penjelasan ini dibuat dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen pada 2010 oleh Ahli Parlimen PAS Baling ketika itu, Datuk Taib Azamuddin ketika mencelah perbahasan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi.
Taib berkata, Allah dalam konteks Islam yang merujuk kepada “AllahhuAhad Allahhussomad” iaitu Allah Yang Esa tempat bergantung dan “Lam Yalid wa lam yu Lad” yakni Allah yang tidak beranak dan tidak diperanakkan memang tidak perlu dipertikaikan sebagai hak eksklusif dan mutlak umat Islam.
Beliau ketika itu meminta Zahid menyatakan Allah yang manakah yang dimaksudkan oleh kerajaan dilarang penggunaan namanya oleh masyarakat bukan Islam.
Menjawap soalan bekas Imam Besar Masjid Negara itu, Zahid yang kini Menteri Dalam Negeri menjelaskan, sememangnya Allah yang dinyatakan oleh Taib itu lah yang dirujuk oleh kerajaan memandangkan Islam adalah agama Persekutuan.
Sebelum itu pada 1998 Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengeluarkan kenyataan yang sama melarang penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam dan diikuti oleh Dewan Syura PAS.
Di sini disertakan rakaman video sidang Parlimen berkenaan untuk rujukan semula bersama mengenai penjelasan Taib yang kini Allahyarham.
Selepas ini pemimpin-pemimpin PAS tidak perlu pura-pura keliru dan jika ada yang berbunyi lagi, itu tidak lain hanyalah untuk sokong sekutu mereka dalam pakatan pembangkang.