Pertama sekali, ada baiknya kita ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kerajaan negeri Selangor yang begitu prihatin dan peka dengan sensitiviti para pemimpin DAP yang marah dengan tindakan dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Ia ekoran dari tindakan JAIS pada 2 Januari lalu, yang melakukan serbuan dan merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah di serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing.
Atas sebab itu, kerajaan PKR Selangor, pimpinan Abdul Khalid Ibrahim telah mengarahkan JAIS agarmemulangkan kembali 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah yang dirampas sebelum ini sekiranya kitab tersebut telah mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Dalam negeri (KDN).
Ini bermaksud, Khalid cuba mengelak dari membuatkan keputusan yang bakal merugikan kerajaan pimpinan pakatan rakyat itu. Ini kerana sekiranya beliau memilih untuk menyokong tindakan JAIS, maka beliau bakal berdepan dengan ‘amukan’ dari pimpinan DAP.
Manakala sekiranya beliau memilih untuk tidak menyokong tindakan JAIS, kerajaan pimpinannya sudah pasti akan menerima kecaman dari masyarakat Islam yang telah menyokong pakatan rakyat selama ini. Oleh yang demikian, beliau cuba mengambil jalan selamat dengan meletakkan tekanan tersebut kepada kerajaan persekutuan walaupun pada hakikatnya, JAIS adalah merupakan jabatan yang diuruskan oleh kerajaan negeri.
Tidak cukup dengan arahan tersebut itu, kerajaan negeri juga memutuskan, JAIS diWAJIBkan untukmengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Exco kerajaan negeri sebelum sebarang tindakan JAIS yang menyentuh sensitiviti penganut agama lain dilakukan.
Dalam erti kata mudah, kerajaan negeri Selangor telah mengetatkan syarat-syarat operasi yang digunakan sebelum ini. Arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu itu adalah merupakan hasil dari keputusan yang dicapai di dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri semalam.
Persoalannya apa perlunya SOP ini diperketatkan, sedangkan menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi sebelum ini, JAIS telah mematuhi SOP yang ditetapkan sebelum melakukan operasi tersebut.
Malah Khalid sendiri sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan, untuk mengambil tindakan terhadap para pegawai JAIS.
“Semakan bagi memastikan pegawai penguatkuasa Jais mematuhi (prosedur) operasi standard yang telah ditetapkan dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat pelanggaran peraturan atau kecuaian semasa melakukan rampasan dan serbuan tersebut,” katanya.
Kesimpulannya mudah, kedua-dua keputusan yang dibuat itu, apabila diteliti semula adalah merupakan tindakan bagi menjaga hati pimpinan DAP yang hampir 80 peratus adalah merupakan penganut agama Kristian.