Berikut disiarkan kenyataan penuh Majlis Agama Islam Selangor mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor melaksanakan penguatkuasaan undang-undang terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM) minggu lalu.
KENYATAAN MEDIA MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR BERHUBUNG TINDAKAN PENGUATKUASAAN ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM (KAWALAN PERKEMBANGAN DI KALANGAN ORANG ISLAM) 1988
Kenyataan media ini dibuat bagi menjelaskan tindakan yang telah diambil oleh pihak JAIS sebagai badan penguatkuasa undang-undang Islam di negeri Selangor.
MAIS menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh JAIS pada 2 Januari 2014 dengan memasuki premis perniagaan di Damansara Kim atas nama Bible Society of Malaysia, Petaling Jaya seterusnya menyita sebilangan jumlah kitab Bible (Al-Kitab) versi Bahasa Melayu termasuk naskhah cetakan Bahasa Melayu Injil Lukas yang tertera kalimah Allah adalah selaras dengan kuasa yang diberikan di bawah undang-undang khususnya di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di kalangan Orang Islam) 1988 (selepas ini dirujuk sebagai Enakmen 1988).
Tindakan JAIS adalah satu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan setelah aduan orang ramai diperolehi berkaitan dengan kegiatan penerbitan kitab Bible (Al-Kitab) yang menggunakan kalimah Allah di dalam kitab Bible (Al-Kitab) berkenaan yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen 1988.
Pihak JAIS mempunyai kuasa melakukan tindakan pemeriksaan dan penyiasatan walaupun melibatkan orang bukan Islam oleh kerana Enakmen 1988 adalah terpakai bukan sahaja kepada orang Islam tetapi orang bukan Islam juga dan peruntukan Seksyen 12 Enakmen 1988 yang dibaca bersama Jadual di dalam Enakmen 1988 berkenaan jelas memberi kuasa kepada pihak JAIS disamping pihak polis untuk melakukan penyiasatan.
MAIS juga menegaskan bahawa tindakan JAIS bukan atas dasar cetakan Bible berkenaan di dalam versi bahasa Melayu tetapi atas dasar kalimah Allah telah digunakan di dalam Bible berkenaan dan ini mengundang kepada satu justifikasi siasatan bagi mengenalpasti samada berlaku satu kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen 1988. Malangnya pihak media termasuklah kenyataan Pengerusi National Unity Consultative Council (NUCC) seperti yang dilaporkan dalam akhbar semalam telah melaporkan fakta yang tidak tepat sama sekali bagi menggambarkan seolah-olah tindakan JAIS adalah semata-mata kerana cetakan Bible berkenaan adalah di dalam versi bahasa Melayu.
Tindakan pihak- pihak berkenaan amat dikesali kerana mereka telah membuat kenyataan tanpa menyemak fakta yang sebenar. Ini menyebabkan salah tanggapan masyarakat terhadap tindakan pihak JAIS.
Di samping itu, pihak MAIS juga menegaskan bahawa JAIS tidak perlu memaklumkan kepada mana-mana pihak apabila ingin mengambil sesuatu tindakan pemeriksaan dan penyiasatan kerana ini akan mengganggu proses penyiasatan yang hendak dilakukan.
Walau bagaimanapun tindakan pihak JAIS ini dilakukan setelah pihak MAIS mengambil penegasan di dalam mesyuarat bulanan MAIS agar pihak JAIS mengambil tindakan terhadap aduan orang ramai
berkaitan dengan kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen 1988 ini atau dengan kata lain menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada di Selangor.
Tindakan JAIS ini hendaklah jangan disalah anggap sebagai satu tindakan yang bersifat menyekat atau campur tangan terhadap kebebasan beragama oleh penganut-penganut agama lain sepertimana peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Ini adalah kerana tindakan JAIS sekadar menguatkuasakan satu undang-undang yang sedia ada yang telah digubal menurut peruntukan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, ianya tidak ada kena mengena dengan unsur-unsur menyekat kebebasan penganut agama lain daripada melaksanakan amalan agama mereka. JAIS tidak langsung mengambil tindakan menyekat orang-orang yang beragama Kristian dari melaksanakan upacara keagamaan mereka seperti yang diperuntukan di dalam Perlembagaan.
Adalah juga diingatkan kepada orang awam bahawa di samping Enakmen 1988 mengenai pengawalan penggunaan kalimah Allah, terdapat juga fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang telah diwartakan pada 18 Februari 2010 yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama bukan Islam yang lain.
Malah fatwa Jawatankuasa Negeri ini konsisten dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-82.
Di samping itu, Mahkamah Rayuan di dalam kes Menteri Dalam Negeri & 8 Yang Lain lawan Titular Roman Catholic Arcbishop of Kuala Lumpur (Rayuan Sivil No. W-01-1-2010) telah memutuskan pada 14 Oktober 2013 bahawa penggunaan kalimah Allah di dalam agama Kristian akan menyebabkan kekeliruan di dalam masyarakat dan kalimah Allah bukanlah merupakan asas atau tunjang utama kepada kefahaman agama Kristian.
Keputusan kes ini walaupun sedang menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan setakat ini keputusan berkenaan mengikat semua pihak di Negara ini.
Berikutan dengan Fatwa yang dikeluarkan di peringkat Negeri dan Kebangsaan serta keputusan Mahkamah Rayuan dengan juga mengambil kira peruntukan undang-undang di bawah Enakmen 1988, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri Selangor setelah berunding dengan Dewan di-Raja Selangor telah memutuskan agar setiap tindakan yang bakal diambil oleh badan penguatkuasaan agama negeri Selangor perlulah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada yang terpakai di negeri Selangor khususnya Enakmen 1988.
Dengan penjelasan ini, MAIS meminta orang ramai tidak mengambil kesempatan untuk mempolemikkan isu ini agar penyiasatan dapat dijalankan tanpa sebarang tekanan dari mana-mana pihak demi mencapai matlamat penyiasatan yang adil dan efektif.
DATO’ SETIA HAJI MOHAMAD ADZIB BIN MOHD ISA
PENGERUSI MAIS