Sebuah pesawat jenis Cessna dipercayai terputus hubungan dengan menara kawalan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ketika di kawasan hutan Hulu Yam di sini Jumaat.
Kejadian dipercayai berlaku pukul 5.15 petang, kata Penolong Kanan Penguasa Bomba Pusat Gerakan Operasi Selangor Kardi Mohsin kepada Bernama di sini Jumaat malam.
Bagaimanapun menurut Kardi, pihak bomba hanya dimaklumkan oleh DCA mengenai kejadian itu pada 11.15 malam.
Kami telah menghantar sepasukan anggota dan pegawai untuk meninjau di kawasan terbabit namun setakat 12 tengah malam kami tidak menemui apa-apa, katanya.
Beliau berkata pihaknya akan menyambung operasi mengesan pesawat terbabit pada Sabtu pagi.
Sementara itu DCA tidak dapat dihubungi untuk maklumat lanjut.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata pihaknya dimaklumkan pesawat berkenaan membawa tiga orang.
Pesawat terbabit dipercayai berada di kawasan sekitar Empangan Batu, Hulu Yam, katanya.
Kami bersama DCA dan bomba sedang melakukan pemantauan di kawasan tersebut,” katanya kepada Bernama.
Menurut Abdul Rahim, operasi mengesan pesawat itu akan dijalankan pukul 7 pagi Sabtu.