Ketika orang ramai hangat memperkatakan tentang kenaikan harga barang, namun masih terdapat peniaga yang menjual barangan mereka dengan harga yang lebih murah.
Keadaan ini boleh dirasai di pasar basah Chow Kit di sini.
Ditanya kenapa mereka masih masih menjual dengan harga rendah, kebanyakan peniaga berkata mereka mendapatkan sayur-sayuran secara terus dari penanam sementara ikan diperoleh dari nelayan di Selangor dan Pahang.
“Ini bermakna membeli terus dari sumber boleh mengurangkan harga,” kata penjual sayur Suriyana Jaafar, 44.
Ikan kembong sejuk beku dijual antara RM8 dan RM10 sekilo bergantung kepada saiz sementara yang segar dijual pada harga RM9 sekilo.
Ini menjadikan ikan kembong segar di Chow Kit kira-kira RM3 lebih murah dari Pasar Datuk Keramat yang menjual antara RM12 dan RM20 sekilo bergantung kepada saiz.
Harga ikan di Pasar Sri Gombak dan Pasar Ampang pula antara RM15 hingga RM20 sekilo.
Harga ayam juga berbeza-beza antara RM7.50 hingga RM8 sekilo di Chow Kit, Datuk Keramat dan Ampang. Di Pasar Sri Gombak, ia dijual RM7.80 sekilo.
Pasar Chow Kit turut menjual cili merah pada harga RM10 sekilo, tomato RM5 sekilo dan bawang merah RM3 sekilo berbanding pasar lain yang menjual antara RM1 hingga RM5 lebih tinggi.
Harga kelapa parut didapati dijual pada harga lebih kurang sama di semua pasar.
Sebiji kelapa dijual RM1.90 sementara kelapa parut RM2 sebiji atau RM6 sekilo.
Harga telur juga hampir sama di semua pasar dengan perbezaan antara 10 hingga 20 sen sebiji.
Bagi 10 biji telur Gred C, ia dijual pada harga RM3.70, Gred B RM3.80, Gred A RM3.90 dan RM4 untuk Gred AA.