Ini sudah jadi macam filem hindustan. Apabila Tan Sri Khalid Ibrahim tiba-tiba pusing cakap kerajaan Selangor hanya akan ambil alih tanah Pusat Giat MARA di Selayang sekiranya prasarana tempat itu tidak ditingkatkan.
Padahal baru-baru ini, Exco kerajaan negeri Ean Yong Hian Wah turut hadir bersama wakil Persatuan Peniaga Cina meninjau tempat itu sambil pihak pejabat Tanah dan Daerah Gombak menyerahkan notis supaya pusat giat MARA itu berpindah sebelum 10 Disember tahun ini.
Dalam notis ditandatangani pegawai Tanah dan Daerah tidak ditulis pun syarat prasarana pusat berkenaan mesti ditingkatkan sebaliknya mesti pindah kerana didirikan ditanah kerajaan tanpa kebenaran.
Dinyatakan juga, jika gagal tindakan akan diambil termasuk di bawah Kanun Tanah Negara 1965.
Malah, ada ura-ura tanah tersebut dikatakan akan bertukar milik kepada sebuah syarikat membaik pulih pesawat.
Selepas dikecam kerana arahan pindah itu sekaligus menyebabkan pusat giat MARA tersebut akan tutup dan bakal menyebabkan belia-belia yang tidak dapat meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi hilang peluang belajar kemahiran, Menteri Besar Selangor sudah pusing cakap.
Beliau cuba menutup bahang yang semakin membara kerana isu tersebut turut dilihat sebagai penganiayaan terhadap belia-belia Melayu yang mempelajari kemahiran di pusat berkenaan.
Malah ada blog dan laman sosial mengaitkan semua itu usaha DAP untuk menafikan hak orang Melayu mendapatkan pelajaran selepas kurang bernasib baik untuk meneruskan pengajian di tahap lebih tinggi.
Khalid dalam laman twitter beliau selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Rabu menyatakan kerajaan hanya akan ambil alih tanah sekiranya Giat Mara tidak tingkatkan prasarana dalam tempoh setahun.
Katanya, kerajaan negeri Selangor memberi notis kepada Giat Mara pada 4 Disember lalu setelah mendapati keadaannya tidak mencapai tahap yang baik dan perlu pembaikan.
“Kita bagi notis satu tahun untuk pihak Giat Mara memperbaiki bangunan dan kemudahan di situ serta membuktikan kemampuan mereka kepada kerajaan negeri.
“Kalau (mereka) tidak mampu kita akan ambil alih kerana ada syarikat yang berminat memberi latihan membuat alatan kapal terbang,” ulangnya dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut.
Apakah Khalid sudah hilang kebolehan membaca hingga tidak memahami kandungan notis yang langsung tidak menetapkan syarat meningkatkan prasarana sebaliknya arahan berpindah dan tiada ganti rugi atau pampasan akan diberikan.
Adakah Menteri Besar Selangor itu berbohong atau Pegawai Tanah dan Daerah yang mengeluarkan notis berpindah itu?.
Khalid perlu jelaskan perkara ini kerana majoriti rakyat Selangor yang mengundi pakatan rakyat berhak tahu apakah ini skrip cerita hindustan yang banyak pusing sana sini atau ada kong kali kong.
Bukan Khalid saja mesti jelaskan perkara ini tetapi seluruh Exco yang menghadiri Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 6 November 2013 yang menetapkan keputusan mengarah pusat berkenaan pindah juga kena memberi penjelasan.
Lagipun, ini bukan pertama kali kerajaan Selangor menutup pusat giat MARA kerana sudah berbuat demikian di pusat giat Mara Merbau Berdarah Sabak Bernam dan di Kapar pula hanya menunggu masa.
Bahkan, menurut ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Soohami Shahadan, sebelum ini kerajaan negeri sudah menghalang projek pembinaan kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM di tanah milik Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) di Serendah.
Beliau yang juga Pengerusi Pelaburan MARA Berhad (PMB) memandang serius perkembangan ini kerana sekiranya dibiarkan anak Selangor akan rugi dari segi pendidikan.
Justeru itu beliau mahu Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menepati janjinya untuk tidak menutup Pusat Giat MARA Selayang.
“Sekiranya kerajaan negeri mahu menganugerahkan tanah tersebut, keutamaan seharusnya diberi kepada Pusat Giat MARA yang telah bertapak lebih 21 tahun dan bukannya pihak lain.
“Walaupun kerajaan negeri sudah menyatakan tidak akan menutup pusat tersebut, Jawatankuasa Bertindak Khas yang telah ditubuhkan akan terus memantau perkembangan ini,” kata beliau kepada pemberita selepas meninjau pusat giat MARA Selayang, Rabu.
Sementara itu, pengerusi Jawatankuasa Bertindak Khas, Dr. Sabri Mustaffa Afifi menyifatkan penutupan pusat pendidikan sesuatu yang serius dan sekiranya diteruskan jawatankuasa akan terus mempertahankan dari segenap sudut.