Sambutan Tahun Baru Cina pada kali ini akan diraikan dalam cuaca sejuk, tempias dari negara di hemisfera utara yang dibawa tiupan Monsun Timur Laut yang akan berterusan dalam tempoh beberapa minggu lagi.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, kebanyakan kawasan di pantai timur, utara dan wilayah tengah sedang mengalami cuaca sejuk kerana tiupan angin tersebut.
Katanya, beberapa kawasan seperti Subang Jaya, Kota Kinabalu, Sandakan, Kota Baru, Kuantan dan Petaling Jaya merekodkan suhu serendah 25 darjah Celsius, menyamai cuaca sejuk di Cameron Highlands dan Genting Highlands.
Pada Khamis, Kuala Krai merekodkan bacaan suhu serendah 17.2 darjah Celsius.
Bermula 1 hingga 2 Januari lalu, bacaan suhu terendah direkodkan adalah 21 darjah Celsius di Kuantan, 22.1 darjah Celsius di Kota Kinabalu, 23.6 darjah Celsius di Petaling Jaya, 23 darjah Celsius di Kota Baru dan 22 darjah Celsius di Kuching.
Alor Setar dan Chuping di Perlis masing-masing merekodkan suhu dingin serendah 22.4 darjah Celsius dan 23.3 darjah Celsius.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari menafikan dakwaan bahawa perubahan cuaca sejuk itu disebabkan kurangnya aktiviti di matahari atau dikenali sebagai fenomena ‘sleeping sun’.
“Berdasarkan rekod, Januari merupakan bulan paling dingin,” katanya.
Menurut Alui, penurunan suhu itu adalah disebabkan tempias cuaca sejuk melampau di negara hemisfera utara yang dibawa angin Monsun Timur Laut dan ia bukan kali pertama kejadian ini berlaku.
“Suhu akan turun dan naik dari semasa ke semasa. Bacaan terendah adalah kejadian biasa dan banyak kali berlaku ketika musim ini.
“Angin monsun yang bertiup laju itu membawa kedinginan dari China, yang sedang dilanda musim sejuk pada ketika ini.
“Malah, cuaca baik dan kekurangan kepulan awan di Malaysia pada minggu ini membantu penurunan suhu pada sebelah pagi dan malam,” katanya.