Tahun 2014 disambut dengan keluhan rakyat mengenai peningkatan kos sara hidup. Biarpun laporan beberapa agensi penarafan kredit antarabangsa menunjukkan penilaian stabil, positif dan memberangsangkan, namun keluhan rakyat masih belum reda, malah semakin kuat.
Laporan The Edge pada 24 Disember 2013 menyatakan bahawa Malaysia ditangga pertama dalam senarai Bank Dunia dari segi kemudahan kredit bagi syarikat kecil dan sederhana. Bank Dunia juga yakin yang Malaysia amat berpotensi untuk menangani risiko secara efektif.
Laporan The Edge ini yang positif ini dilihat konsisten dengan rekod laporan Bank Negara yang turut menunjukkan angka yang memberangsangkan. Pada 31 Disember 2013, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM441.7 bilion (bersamaan dengan USD134.9 bilion) yang mana memadai untuk membiayai 9.6 bulan import tertangguh dan 3.7 kali hutang luar negeri jangka pendek.
Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM14.5 bilion berbanding tahun 2012 yang hanya merekodkan jumlah RM427.2 bilion.
Kedudukan rizab yang lebih tinggi mencerminkan lebihan akaun semasa yang berterusan dan kemasukan pelaburan langsung asing, dana portfolio bukan pemastautin dan dana perbankan yang memberangsangkan.
Berdasarkan Bajet 2014 yang dibentangkan pada Oktober lepas, pertumbuhan yang dipacu oleh pelaburan swasta dijangka meningkat sebanyak 12.7% dan permintaan eksport pula meningkat pada kadar 2.5%. Oleh itu, kerajaan menjangkakan ekonomi negara akan berkembang lebih kukuh pada kadar 5% hingga 5.5% tahun ini. Selain itu, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan sektor perkhidmatan pula sebanyak 5.7 peratus.
Kerajaan juga menjangkakan kadar pengangguran pada 3.1% dengan kadar inflasi pada 2%-3% 2014.
Bagaimanapun, pada hujung Disember 2013 kadar inflasi telah mula meningkat melebihi 3%. Januari ini, inflasi Malaysia berada pada kadar 3.2%. Standard Chartered Bank (StanChart) South East Asia Global Research melaporkan bahawa kadar inflasi dijangka mencapai 3.4% selama 9 bulan pertama tahun ini.
Di masa yang sama, ekonomi dijangka tumbuh sehingga 3.5% pada tahun ini berbanding 2.7% tahun lepas dan GDP juga dijangka tumbuh pada kadar 5.3% berbanding jangkaan awal 4.7%.
Malangnya, laporan dan angka positif nampaknya tidak dapat menenangkan hati rakyat apabila harga barangan pengguna meningkat daripada 2.9% pada November lalu kepada 3.2% tahun ini.
Satu kajiselidik oleh Reuters menjangkakan harga barangan akan terus meningkat lagi. Peningkatan ini adalah kesan langsung dari langkah pengurangan subsidi oleh kerajaan.
Selain itu, sejak Disember lepas, Ringgit Malaysia terus jatuh berbanding British Pound, US Dollar dan Chinese Renminbi yang mana menjadikan nilai import dari negara-negara tadi menjadi lebih tinggi.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila terdapat peniaga yang bertindak meningkatkan harga barangan sewenang-wenangnya sebagai mengambil kesempatan dari isu pengurangan subsidi. Pihak pembangkang pula menangguk di air keruh dengan menjadi dalang bagi menambahkan lagi keresahan rakyat.
Namun, di sebalik angka-angka dan keluhan serta rungutan yang didengari, seorang rakyat Malaysia pastinya berbohong jika menyatakan yang beliau perlu melakukan perubahan drastik bagi mengimbangi kos kenaikan sara hidup pada hari ini.
Dari apa yang dilihat, walaupun saban hari merungut mengenai harga barang di laman-laman sosial, hampir tiada seorang pun dari mereka yang perlu melakukan apa-apa perubahan demi meneruskan kelangsungan hidup. Dalam kata lain, mereka masih meneruskan rutin seperti biasa, berborak di kedai mamak berjam-jam walaupun mulut mengomel yang harga teh tarik semakin mahal. Sekali gus, membuktikan yang mereka mampu menangani kenaikan itu.
Justeru, walaupun tiada kajian terperinci mengenai berapa ramai rakyat Malaysia yang terpaksa menukar cara hidup bermula awal tahun ini akibat kenaikan kos sara hidup, tetapi kita tahu bahawa keadaan sebenarnya tidaklah seburuk seperti yang dirungutkan.
Hakikatnya, kerajaan tidak mungkin akan terlepas pandang sekiranya rakyat benar-benar tertekan kerana ia pasti akan memberi kesan buruk kepada kedudukan ekonomi negara secara keseluruhan. Sedangkan, kedudukan ekonomi negara amatlah memberangsangkan.
Keadaan rakyat yang tertekan akan diterjemahkan melalui kedudukan institusi kewangan yang akan turut tertekan di mana jumlah pinjaman tidak berbayar akan meningkat dan dayabeli pengguna akan menurun sehingga peniaga kerugian. Aktiviti ekonomi seperti pembangunan dan perniagaan akan semakin perlahan dan mungkin terhenti terus. Pengangguran pastinya meningkat sekali gus, menggandakan kesan rangkaian tadi.
Kesan seperti ini telah dilihat berlaku ketika krisis ekonomi 1997/98.
Namun, kesan seperti ini tidak berlaku pada hari ini. Seperti yang dikatakan tadi, harga barangan yang meningkat masih tidak memaksa rakyat untuk mengubah cara hidup. Ini bermakna kenaikan yang berlaku berada di kadar yang bersesuaian dan tepat.
Rakyat perlu memahami dan mengakui hakikat ini sebelum menghalakan kemarahan kepada kerajaan. Seharusnya rakyat membantu kerajaan untuk memburu peniaga yang sengaja mengambil kesempatan dengan menaikkan harga secara tidak masuk akal dan bukannya turut membantu mereka memburukkan kerajaan.
Kesimpulannya, peningkatan kos sara hidup adalah realiti, bukan fantasi. Namun, peningkatan tersebut adalah pada kadar yang sesuai dan mampu ditanggung oleh rakyat Malaysia. Oleh itu adalah salah untuk kita menyalahkan kerajaan kerana apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah tepat iaitu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara tanpa menjejaskan rutin hidup rakyat.