Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedia melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor yang dipegangnya jika dipersetujui semua tiga parti dalam pakatan pembangkang PKR, PAS dan DAP serta mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Boleh lepas jawatan jika tiga parti (PKR, PAS, DAP) setuju serta dapat perkenan Tuanku (Sultan Selangor). Itu syarat utama. Tetapi belum ada perbincangan setakat ini,” katanya pada petang Isnin.
Khalid berkata demikian ketika ditanya sama ada peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh sebagai usaha menyingkirkan beliau sebagai menteri besar dengan memberi laluan untuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di DUN berkenaan.
Mengenai siapa calon yang akan bertanding mewakili PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang ekoran pengunduran Lee, Khalid berkata perkara itu akan dibincangkan dalam parti dan namanya akan diumumkan oleh Presiden atau Ketua Umum.
“Saya tak tahu. Perkara itu akan dibincang dalam Biro Politik PKR sebab dia (Lee Chin Cheh) ADUN PKR….Biro Politik akan tentukan siapa wakil atau calon, seterusnya tunggu keputusan Presiden dan Ketua Umum,” kata Khalid ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur.
Namun, reaksi bersahaja Khalid menjawab soalan itu seolah-olah beliau sudah mengetahui apa akan berlaku selepas ini susulan peletakan jawatan Adun Kajang itu.
Sebab itu, Khalid menjelaskan bahawa beliau ‘tidak terkejut’ dengan usaha menggantikannya sebagai menteri besar kerana sebelum ini sudah ada “ura-ura” dan cakap-cakap mengenainya.
Ditanya sama ada konsesus tiga parti itu akan memberi laluan kepada wakil PAS pula dilantik sebagai Menteri Besar, Khalid mengulangi bahawa ianya proses yang memerlukan persetujuan tiga parti dan Sultan.
Bagaimanapun, Khalid berkata, perkara itu tidak ada dibincagkan lagi.
Spekulasi mengenai Anwar akan bertanding kerusi DUN Selangor tambah kuat ekoran perletakan jawatan Lee pada Isnin berkuatkuasa serta merta seperti yang diumumkan Speaker DUN, Hanna Yeoh.
Sebelum ini, ada laporan Khalid akan melepaskan jawatan Menteri Besar dan Anwar akan bertanding di kerusi DUN bagi membolehkan beliau dilantik ke jawatan itu.
Semua ini dipercayai ekoran kontroversi dan desakan pemimpin PKR Selangor yang tidak puashati dengan kepimpinan Khalid sebagai Menteri Besar terutama dalam isu pengguguran Pengerusi PKR negeri Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS.