KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, beliau tidak memiliki sebarang akaun di mana-mana bank di Switzerland dan akan bertindak menggunakan saluran undang-undang untuk membersihkan namanya.
Malah kata Taib, beliau telah menulis secara formal kepada Presiden Switzerland,Micheline Calmy-Ray bulan lalu untuk mendapatkan pengesahan apakah benar presiden itu mengarahkan satu siasatan dijalankan ke atas akaunnya itu sebagaimana yang didakwa oleh Dana Bruno Manser.
Dan jika benar terdapat dakwaan sepertimana yang dibuat ke atasnya, Taib turut meminta Kerajaan Switzerland agar mengirim kepadanya satu salinan agar beliau dapat bertindak mengikut saluran undang-undang.
Dana Bruno Manser mendakwa Kerajaan Switzerland telah mengarahkan agensi yang berkaitan supaya menyiasat apa yang didakwa kononnya aset Taib yang disimpan di bank-bank di negara berkenaan.
Taib menegaskan bahawa beliau tidak memiliki apa jua akaun sulit atau aset yang tersimpan di Switzerland sebagaimana yang didakwa oleh Bruno Manser.
”Malah saya telah membuat perakuan bahawa saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Switzerland untuk menegakkan kebenaran dan membuktikan segala dakwaan yang dibuat ke atas saya adalah satu fitnah semata-mata,” katanya pada Dewan Undangan Negeri pagi Rabu bagi menjelaskan isu di sebalik dakwaan tersebut.
Tegasnya, segala-galanya bermotivasikan politik.
Malah kata Taib, Dana Bruno Manser mempunyai rekod yang panjang dalam membuat dakwaan-dakwaan yang tidak berasas dan berbaur fitnah ke atas kerajaan negeri pimpinannya.
”Jadi apa yang mereka buat dalam dakwaan terbaru ini mengenai aset saya di Switzerland adalah kesinambungan kepada dakwaan palsu dan fitnah untuk mencemarkan nama baik negeri ini, kerajaan negeri dan juga kepimpinan negeri ini,” kata Taib.