SLIM RIVER: Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran sebuah bengkel motosikal di Jalan Taylor Slim Village, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam 1.50 petang itu, mangsa Chua Yim Heng, 49, dijumpai pasukan bomba ditingkat dua bangunan rumah kedai terbabit selepas dipercayai gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran itu, manakala kembarnya Chua Yim Peng, 49, yang juga pemilik premis berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Othman Nanyan, berkata kebakaran dipercayai berpunca dari api tempat sembahyang yang diletakkan di kawasan bengkel di tingkat bawah premis dua tingkat itu, namun pihak bomba masih menyiasat punca sebenar kejadian.
Pasukan bomba terdiri daripada 16 anggota dan tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Slim River mengambil masa kira-kira dua jam bagi mengawal api dari merebak ke bangunan berhampiran dan memadamkan api sepenuhnya pada jam 4 petang tadi.