Selepas didesak menyatakan pendiriannya dalam isu kempen awal di DUN Kajang, Majlis Peguam pada Selasa menggesa semua parti terbabit pilihan raya kecil Kajang mematuhi peraturan berkaitan tempoh berkempen.
Presidennya Christopher Leong berkata, undang-undang dan peraturan pilihan raya adalah jelas, ada tempoh masa tertentu untuk kempen pilihan raya.
Sehubungan itu, beliau mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menguatkuasakan undang-undang berkenaan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Beliau menyatakan demikian dalam sidang media megulas kenyataan SPR bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh didakwa kerana berkempen sebelum tempoh berkempen.
Terkini, tiga kertas siasatan dilaporkan telah dibuka bagi menyiasat tindakan Anwar yang didakwa tidak memohon permit di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk mengadakan kempen.
Anwar sudah memulakan kempen sejak minggu lalu selepas PKR mengumumkan beliau calon yang akan bertanding menggantikan Lee Chin Cheh yang melepaskan jawatan akhir bulan lalu.
Leong turut menggesa SPR agar mengumumkan kepada orang ramai apabila mereka mahu menjalankan semakan semula persempadan pilihan raya.
Katanya, orang ramai akan mempunyai masa mencukupi untuk memahami persempadanan semula kawasan pilihan raya di tempat tinggal mereka serta di kawasan mereka mengundi.