Umum mengetahui portal Malaysian Insider sering memberikan laporan berat sebelah terutama yang melibatkan kerajaan dan parti Barisan Umno (BN). Walaupun sering mendakwa sebagai media portal yang bebas tanpa menyokong mana-mana pihak, namun apabila diteliti setiap laporan yang dikeluarkan pasti ramai yang dapat menilai sikap dan pendirian yang mereka.
Dahulu portal tersebut hanya dilihat sebagai media yang pro-pembangkang, namun mutakhir ini laporan yang mereka keluarkan bukan setakat ‘berat sebelah’ tetapi sering kali dilihat menipu dengan mutar-belitkan kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan BN.
Terbaru, mereka cuba mengelirukan masyarakat khususnya rakyat Sarawak dengan memutarbelitkan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Namun apabila disemak, ternyata Taib Mahmud TIDAK pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti itu.
Portal pro-pembangkang itu sebelum ini melaporkan kononnya Taib Mahmud ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) Sarawak telah menasihati sesiapa pun yang bakal menggantikannya harus memastikan politik rasis Umno tidak masuk ke negeri itu.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Nancy Syukri ketika dihubungi petang tadi menafikan sekeras-kerasnya laporan yang dikeluarkan oleh portal tersebut. Beliau yang turut hadir di dalam perjumpaan tersebut berkata, Ketua Menteri langsung tidak pernah berkata seperti yang laporan tersebut.
“Mana ada CM (Ketua Menteri) berkata macam itu. Beliau tidak pernah bercakap sedemikian malah amat menghargai hubungan dan kerjasama baik yang terjalin antara persekutuan dan kerajaan negeri”, katanya.
Menurutnya lagi, artikel yang dikeluarkan itu jelas mempunyai niat jahat yang sengaja ingin mewujudkan persepsi negatif di kalangan rakyat.
Mungkin atas alasan tersebut, Jabatan Penerangan Sarawak semalam telah mengeluarkan makluman kepada semua pihak media agar tidak membuat liputan terhadap mana-mana program yang melibatkan Ketua Menteri.
Ia mungkin bertujuan bagi mengelakkan sebarang percubaan pihak-pihak tertentu yang sengaja ingin mengambil kesempatan dengan mencetuskan rasa kurang senang di kalangan masyarakat.
“Sukacita dimaklumkan bahawa jabatan ini diarah oleh Pejabat Ketua Menteri untuk memohon kerjasama supaya tidak menghantar wartawan, jurufoto dan jurukamera pada sebarang masa untuk membuat liputan ke atas ketua menteri tanpa sebarang makluman,” katanya menerusi kenyataan kepada semua media, hari ini (semalam).