Sebuah pesawat tambang murah yang dalam penerbangan dari Singapura dengan membawa 145 penumpang terpaksa melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas krewnya menemui satu bungkusan di dalam tandas pada pukul 7.30 pagi Khamis.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan pasukan Bomba dan Penyelamat terhadap pesawat IndiGo itu menemukan bungkusan berisi tiga ketulan emas yang kurang sekilogram beratnya.
Penolong Pengarah Bomba Selangor, Mohd Sani Harul mengesahkan bahawa pendaratan cemas itu dilakukan kerana faktor keselamatan.
Menurutnya, krew penerbangan yang dalam perjalanan dari Singapura ke Chennai itu pada awalnya mengesyaki bungkusan itu mengandungi bahan kimia.
“Sebaik mendarat, kesemua penumpang telah dipindahkan sebelum pegawai dan anggota unit hazmat bomba melakukan pemeriksaan di dalam pesawat.
“Ia bukanya kimia, yang kami temukan hanyalah ketulan emas di dalam balutan kertas. Kami tidak tahu bagaimana ia dibawa ke dalam pesawat dan siasatan sedang dilakukan oleh polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang Supritendan Zaldino Zaludin berkata, pihaknya menerima laporan awal mengenai penemuan bom tetapi kini polis sedang mengesan pemilik emas tersebut.