Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam hari ini menegaskan tuntutan yang dibuat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia (Comango) bertentangan dengan syariat Islam dan bakal menghancurkan negara.
Justeru, jawatankuasa fatwa berkenaan menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Comango yang dilihat satu gerakan yang cuba menghancurkan kedaulatan Islam di negara ini.
Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataan berkata, jawatankuasa fatwa menentang tuntutan itu kerana selain bercanggah dengan syariat Islam, ia juga bertentangan dengan undang-undang dan Perlembagaan negara serta norma-norma antarabangsa.
“(Tuntutan itu) akan mencetuskan huru-hara kepada masyarakat dan negara serta mampu meruntuhkan pegangan dan cara hidup umat Islam di Malaysia”, katanya.
Comango sebelum ini menuntut beberapa perkara merangkumi hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender.