Zaid Ibrahim mahu selamatkan Khalid Ibrahim daripada menjadi mangsa Anwar Ibrahim – itulah senario babak terbaru menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac nanti.
Percaturan bakal calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Serampang Kajang nampak gayanya tidak akan berjalan lancar seperti digarapkan Pengarah Strategi parti itu Rafizi Ramli.
Bekas Presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanahair (KITA) Datuk Zaid Ibrahim, yang juga dahulunya rakan baik Anwar mengumumkan akan menentang beliau sebagai calon bebas pada PRK itu nanti.
Zaid yang sama-sama menghasilkan kerangka kerjasama Pakatan Rakyat berkata, niat untuk bertanding timbul apabila mendapati strategi Serampang Kajang ini antara lain ada kaitan dengan usaha menyingkir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Keputusan ini telah saya fikirkan semasak-masaknya. Ia dibuat di atas pertimbangan membela prinsip politik sihat.
“Khalid akan terus jadi menteri besar. Jika Abdul Khalid dan kepimpinan beliau perlu disingkir, biarlah ia dilakukan melalui proses demokrasi yang sihat.
“Kalau saya menang, Anwar kalah. Maka amanlah Pakatan Rakyat (PR) di Selangor,” katanya pada sidang media ketika membuat pengumuman tersebut di Kajang, Ahad.
Menurut Zaid, rancangan Anwar untuk menggantikan Abdul Khalid adalah satu tindakan politik liar yang tidak wajar direstui.
Mandat dan kepercayaan rakyat terhadap Abdul Khalid dan barisan exconya yang mentadbir negeri tidak boleh diketepikan semata-mata atas alasan mahu menjaga kepentingan mana-mana individu dalam parti, tegas Zaid.
Jelas Zaid lagi, cara dan teknik Anwar menggunakan kedudukan politiknya dalam PKR untuk merampas kuasa dari Abdul Khalid akan membawa kepada perpecahan besar dalam PR.
“Jika Anwar menang di Kajang dan Abdul Khalid enggan berhenti secara sukarela, maka akan timbul krisis politik dan pentadbiran yang buruk di Selangor.
“Malah, jika Anwar menang di Kajang, belum tentu beliau akan diterima menjadi menteri besar oleh Sultan Selangor.
“Bila ini berlaku, kekecohan politik akan timbul dan kedudukan PR yang begitu selesa yang mendapat sokongan padu rakyat sekarang akan terjejas. Ia boleh selesai jika saya menang kerusi DUN Kajang,” kata bekas menteri itu.
Zaid juga tidak bersetuju dengan pendapat tindakan beliau bertanding mungkin akan memecahkan undi Anwar dan memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN).
“Saya tiada fikir nak pecah undi. Saya bukan kerja pecah undi. Ini kerja orang lain. Kerja saya fahamkan rakyat. Saya nak menang. Saya nak rakyat sokong saya,” ujarnya.
Selain itu ada juga pemerhati percaya, penyertaan Zaid boleh memecahkan undi Melayu, sekaligus memberi kelebihan kepada Anwar kerana majoriti pengundi bukan Melayu dikatakan memihak kepada Anwar.
Memandangkan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan kempen awal tidak salah kerana belum ada sesiapa menjjadi calon yang sah sebelum pencalonan diterima pada hari penamaan calon 11 Mac ini, Zaid berkata beliau akan terus memulakan kempen secara kecil-kecilan seperti mengadakan ‘walkabout’ dan di internet.
“Kelebihan saya adalah saya lebih terbuka berbanding Anwar…saya akan berkempen kecil-kecilan.
“Saya akan berkempen melalui dialog. Pengundi boleh tanya soalan, saya akan jawab,” katanya.