Ramai yang tidak terkejut dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden parti itu Mei depan.
Dalam wawancaranya dengan The Ant Daily, Anwar dilaporkan berkata, sejak setahun lalu isterinya (Wan Azizah) telah menyatakan hasratnya yang ingin bersara bagi menumpukan perhatian bersama Anwar dan cucunya.
Perkara itu juga turut dinyatakan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan Anwar akan bertanding jawatan tersebut dalam pemilihan parti itu bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.
Menurut pemerhati politik, selain mengukuhkan kuasanya tindakan tersebut sebenarnya bertujuan untuk mengekang pengaruh politik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang semakin melebar.
Malah desas-desus mengenainya semakin hebat diperkatakan melalui kenyataan dan tindakan Azmin yang dilihat begitu agresif menyerang semua ‘orang-orang’ dari kem Azizah sehingga memeningkan Anwar.
Ahli parlimen Gombak itu sebelum ini dilihat cuba merebut kuasa pentadbiran negeri Selangor dengan keputusan yang dibuat oleh MPP Pusat yang mahu agar Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar dilucutkan jawatan dan digantikan dengan calon lain (Azmin) yang dikatakan lebih layak dan berkemampuan.
Namun semua usaha itu tergendala di tengah jalan, apabila Adun Kajang dari PKR mengambil keputusan meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding bagi membolehkannya menggantikan Khalid sekali gus memusnahkan impian Azmin.
Namun usaha Azmin itu tidak berhenti setakat itu sahaja apabila para pengikutnya mula menyusun langkah dan strategi untuk membolehkannya dipilih sebagai Presiden.
Menurut sumber dalaman parti itu, kumpulan yang menyokong Azmin dikatakan telah memulakan beberapa siri kempen sebelum ini dengan mengadakan beberapa perjumpaan melalui program ‘Bertemu Pemimpin Di Akar Umbi’.
Azmin juga dikatakan turut giat mengatur langkah dengan mengadakan beberapa program wacana ‘Laksana Satu Nyawa’ sebagai satu usaha untuk mendekati golongan muda dalam parti itu khususnya di Lembah Klang.
Tidak cukup dengan itu, Azmin juga dikatakan giat mengatur ‘orang-orangnya’ untuk bertanding jawatan-jawatan penting parti di peringkat cabang, negeri dan pusat.
Khuatir dengan perkembangan tersebut, Anwar mungkin merasakan dia perlu melakukan sesuatu bagi menghalang pengaruh ‘anak emasnya’ itu. Maka jalan terbaik adalah dengan memaklumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden atas alasan ia adalah merupakan permintaan Azizah.
Dengan cara itu, sudah pasti Azmin terpaksa mempertimbangkan semula hasratnya untuk merampas kepimpinan parti. Ini kerana sebagai anak didik Anwar, sudah pasti tindakan untuk mencabar Ketua Pembangkang itu akan dilihat sebagai satu penderhakaan.
Maka jalan terbaik untuk Azmin hanyalah dengan mempertahankan jawatan Timbalan Presiden parti yang disandangnya sebelum ini. Namun, ada khabar mengatakan, Nurul Izzah turut berminat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden atas alasan ingin memantapkan lagi perjuangan PKR agar lebih efektif.
Dalam erti kata lain, Azmin bakal berdepan dengan anak kesayangan Anwar bagi merebut jawatan tersebut. Dan sekiranya Anwar mengambil keputusan untuk membantu jentera kempen Nurul, sudah pasti Azmin bakal berdepan dengan laluan yang sukar.
Kesimpulannya #LangkahKajang bukanlah untuk memperjuangkan isu rakyat seperti yang didakwa, ia hanyalah merupakan langkah permulaan Anwar untuk mengukuhkan penguasaannya dan anaknya di dalam PKR. Di masa yang sama ia adalah merupakan medan yang terbaik untuk membunuh pencabar politiknya yang juga merupakan ‘anak emasnya’ suatu ketika dahulu.