Walaupun Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim mengatakan dia penuh yakin akan mampu mempertahankan Dun Kajang, namun ramai yang merasakan kenyataan tersebut hanyalah sekadar untuk menenteramkan kegusaran yang sedang melanda dirinya.
Ini kerana, di dalam sejarah pilihan raya berbagai kemungkinan boleh terjadi. Tiada seorang pun boleh memberikan jawapan yang pasti, kerana semuanya terletak di tangan pengundi yang akan menentukan siapa yang ingin mereka pilih.
Sekiranya dilihat kepada gerakan kempen agresif yang dilakukan oleh Anwar di Kajang, sudah cukup membuktikan bahawa Ketua Pembangkang itu pada hakikatnya bimbang sekiranya dia di tolak oleh pengundi di Kajang.
Walaupun secara rasminya tempoh berkempen masih belum bermula, namun kelibat Anwar yang hampir saban hari berada di Kajang turut menguatkan lagi andaian tersebut.
Malah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir ketika ditanya pemberita baru-baru ini mengatakan Barisan Nasional hanya mempunyai peluang 50-50 di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada 23 Mac ini.
Tambahan pula Anwar pada ketika ini sedang berhadapan dengan protes dalaman oleh pengundi pakatan sendiri PR secara besar-besaran di Kajang yang berkemungkinan akan menjadi faktor utama dia tewas pada PRK itu nanti.
Ramai yang melihat sabotaj dalaman parti terutamanya dari pengundi Pas yang berterusan dan masih belum menemui jalan penyelesaian, boleh menyebabkan Anwar tersungkur kerana mereka merasakan PRK ini adalah merupakan medan perjuangan untuk memenuhi agenda peribadinya.
Pas sebelum ini dengan tegas mengatakan hanya memberikan sokongan untuk Anwar bertanding dan bukannya untuk membolehkan dia menduduki kerusi menteri besar. Malah faktor golongan profesional juga tidak boleh dinafikan mampu memainkan peranan penting bagi menewaskan Anwar.
Ini kerana sebagai golongan profesional yang punyai pengalaman, sudah pasti mereka mampu melihat bagaimana rakusnya Anwar yang sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi cita-cita politiknya.
Dengan kemasukan calon bebas di kalangan mereka yang pernah menjadi sahabat Anwar, sudah pasti akan merancakkan PRK pada kali ini sekali gus menyebabkan pengundi pakatan yang marah, memilih untuk memberikan undi kepada calon Bebas.
Itu belum lagi diambil kira para penyokong Azmin yang marah dengan tindakan Anwar dan Khalid yang jelas menjadikan gerakan #LangkahKajang ini untuk membunuh karier politiknya.
Kesimpulannya sekiranya semua faktor-faktor yang dinyatakan tadi diambil kira dan berjaya di realisasikan, sudah pasti ia mampu membuka peluang untuk BN/Umno merampas kembali kerusi Dun Kajang.