Anwar Ibrahim cuba menggambarkan diri beliau sebagai pemimpin yang diterima oleh pelbagai kaum dan agama di negara ini tetapi realiti adalah sebaliknya.
Di hadapan hadirian beragama Kristian yang memenuhi dewan sebuah sebuah gereja di Kajang baru-baru ini, Anwar bernada lain ketika berdepan dengan pengundi Melayu.
Di depan penganut Kristian, Anwar memetik beberapa ayat Al Qur’an mempertahankan dasar pakatan pembangkang yang menyokong penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katholik.
Beliau juga menghafal beberapa ayat lagi untuk menunjukkan betapa Islam boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan agama-agama lain di negara lain.
Dalam erta kata lain Anwar memainkan sentimen pluralisme untuk menarik golongan bukan Islam menyokongnya.
Pelik juga di hadapan penganut Kristian beliau boleh menjual ayat-ayat Al Qur’an demi mendapat undi pada pilihan raya kecil Kajang kelak tetapi apabila Lim Kit Siang mempertikaikan ayat Al Qur’an yang di gunakan oleh Jakim untuk pengisian khutbah baru-baru, Anwar sedikit pun tidak membangkang atau membantah.
Mungkin bagi Anwar halal menjadikan ayat-ayat suci sebagai alat politik tetapi apabila pemimpin bukan Islam menghina Islam, dihalalkan juga supaya tidak mempertahan kan kesucian agama.
Begitulah politik agama yang dimainkan oleh Anwar dan pembangkang.
Pemimpin-pemimpin Melayu pembangkang terutamanya Pas dan Anwar tidak segan silu keluar masuk gereja dan pusat-pusat agama lain kerana hendak mengambil hati demi peti undi.
Mereka sanggup mengenepikan fatwa para ulama yang melarang perbuatan tersebut kecuali jika keadaan mendesak.
Bagi Anwar dan pemimpin Pas cukup bagi ‘ulama’ mereka mengeluarkan fatwa menghalalkan segala tindakan mereka selagi ia boleh membawa undi.
Itulah yang dilakukan oleh Anwar di gereja di Kajang tersebut.
Beliau boleh mengutuk dan menghina bangsa sendiri di hadapan orang kafir kerana menganggap undi orang kafir tersebut lebih tinggi nikainya daripada perpaduan dengan saudara sebangsa dan seagama.
Begitu juga yang beliau lakukan sebelum ini di hadapan khalayak penyokong pembangkang Cina dengan memperlecehkan kredibiliti pemimpin-pemimpin dari UMNO.
Seolah-olah beliaulah manusia paling maksum dan suci daripada sebarang dosa.
Mungkin mereka yang terpegun dengan retorik Anwar terlupa siapa beliau semasa berkuasa di dalam satu ketika dahulu.
Anwarlah antara menteri kabinet paling korup dengan mengumpul dan mengalihkan harta dan wang tunai perpuluh bilion ringgit ke luar negara.
Kini di depan penganut Kristian beliau cuba menonjolkan imej kesengsaraan seperti mana yang pernah dilalui oleh Jesus.
Ini semua adalah permainan politik sesumpah yang memang menjadi darah daging Anwar.
Apa sahaja akan dikorbankan oleh Anwar untuk kepentingan politiknya – agama, bangsa malah negara sekali pun.
Kajang adalah korban percintaan Anwar kerana memenuhi nafsu serakahnya untuk menduduki kerusi menteri besar setelah gagal menjadi perdana menteri.
Setakat yang diketahui tidak ada perdana menteri atau menteri besar yang menjawat mana-mana jawatan tersebut pada usia lanjut 67 tahun.
Tetapi berlainan bagi Anwar kerana beliau penuh dengan sikap keakuaan yang menjadi belenggu dirinya.
Hanya kepentingan diri dan agenda politiknya sahaja yang diutamakan.
Yang lain seperti sahabat handai dalam perjuangan politik yang jatuh bangun bersamanya adalah ‘expendable’ atau boleh dikorbankan bila-bila masa sekira keadaan memerlukan.