Tidak salah jika kita katakan bahawa PRK Kajang adalah PRK paling kotor dan membazir dalam sejarah kerana ia diadakan khas untuk Anwar Ibrahim. Seolah-olah seorang artis yang sudah hampir dilupakan, Anwar menjadikan PRK Kajang sebagai medan untuk mempromosi diri bagi memastikan hayat politiknya tidak terkubur begitu saja. Apatah lagi dengan rayuan kes liwat yang tampak agak ‘sukar’ akibat kegagalan mengenepikan Dato’ Shafiee Abdullah dari barisan pendakwaan.
Walaupun Anwar ingin menjadikan PRK Kajang sebagai pentas untuk ‘memasarkan’ dirinya dan kesinambungan partinya, tetapi hakikat sebenarnya ialah PRK ini turut ada baiknya untuk rakyat kerana ia mampu membantu rakyat menilai buat kesekian kalinya, siapa itu Anwar dan apakah jenis parti yang diwakilinya.
Lebih dari itu, dengan pengumuman dari MCA untuk menyahut cabaran Anwar, maka PRK ini juga sekali gus dapat membantu rakyat menilai kembali komitmen MCA di dalam Barisan Nasional.
Sekiranya rakyat ingin melihat PRK Kajang sebagai pertandingan moral pemimpin, maka calon MCA iaitu Datin Paduka Chew Mei Fun, bukanlah lawan Anwar. Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA, berkeperibadian baik serta berprinsip. Untuk itu, beliau turut dipuji oleh media pro-PR sebagai bersih dan berintegriti. Pendek kata, Chew Mei Fun adalah pilihan terbaik dan tepat sehinggakan tiada siapa pun yang dapat berkata sesuatu yang buruk terhadap dirinya. Ini menjadikan beliau dengan Anwar bagaikan langit dengan bumi.
Justeru, adalah tidak perlu rasanya untuk kita membandingkan antara kedua personaliti ini, tetapi melihat PRK ini sebagai kayu pengukur kematangan pengundi dalam memilih calon dan parti.
PRK Kajang adalah bukti bahawa parti PKR adalah parti yang tidak bertanggungjawab. Sebaliknya MCA pula adalah parti yang bersungguh-sungguh berusaha memulihkan kekuatan dan memperbaharui komitmen dengan BN.
Strategi PR dalam PRK Kajang adalah jelas iaitu untuk meraih undi berdasarkan sentimen perkauman dan agama. Ini terbukti apabila Anwar masuk ke gereja untuk berkempen bagi ‘memberi harapan’ kepada Kristian mengenai isu kalimah ‘Allah’ dan kemudian berjanji akan mempertahankan kalimah ‘Allah’ di dalam ceramah lain di hadapan orang-orang Melayu.
Berbeza dengan MCA, di mana parti itu tidak menyentuh persoalan sensitif tetapi membawa bersamanya seruan perpaduan, semangat setiakawan dan keharmonian antara kaum.
Walaubagaimanapun, kita tidak boleh menafikan yang faktor ‘kaum’ tetap menghantui PRK ini.
Memandangkan pengundi dari kaum Cina menjadi sasaran utama kedua belah pihak, maka dirasakan adalah lebih wajar jika kita membandingkan Chew Mei Fun dengan pemimpin Cina dari PR juga. Lawan yang paling sesuai, tentulah ‘heroin paling bijak’ dalam PR buat masa ini iaitu Teresa Kok.
Teresa Kok kini menjadi antara personaliti paling penting dalam DAP hanya kerana beliau merakamkan video ucapan Tahun Baru Cina dengan cara mengejek-ejek Perdana Menteri dan isteri. Video tersebut dikecam hebat oleh rakyat Malaysia kerana dianggap tidak sensitif dan tidak matang dalam memikul tugasnya sebagai pemimpin.
Apa yang menarik ialah, sikap DAP dan keseluruhan Pakatan Rakyat yang tidak melihat sebarang kesalahan dari video Teresa Kok. Malah, Teresa dibela bersungguh-sungguh sehinggakan pemimpin tertinggi DAP iaitu Lim Kit Siang sendiri dilihat tiada kerja lain selain menulis membela Teresa Kok sejak beberapa minggu lalu di dalam blog beliau.
Perlu diingatkan bahawa Teresa Kok juga telah dikaitkan dengan projek RM1billion dengan syarikat Goldsino dari China. Oleh itu, integriti beliau dan juga parti DAP serta PR dan PKR Selangor semuanya menjadi tandatanya.
Berdasarkan hakikat ini, maka tidak salahlah sepertimana yang dikatakan tadi iaitu PRK Kajang bukan semestinya sebuah platform untuk Anwar mencari glamour. Tetapi, apa yang lebih penting ialah ia merupakan platform untuk kita menilai pemikiran masyarakat Cina sama ada mereka benar-benar mementingkan integriti parti dan pemimpin sepertimana yang mereka laungkan dalam PRU-13 yang lalu.
Bagi membantu masyarakat Cina memahami pendirian mereka maka mereka mungkin boleh bertanya diri sendiri beberapa soalan ini:
Dengan sikap pemimpin PR terhadap Teresa Kok, apakah kita boleh mempercayai bahawa PR ingin menyatupadukan rakyat Malaysia?
Antara Teresa Kok dan Chew Mei Fun, siapakah yang lebih layak diberi kepercayaan untuk membawa keharmonian?
Antara DAP dan MCA, parti manakah yang layak bercakap tentang keamanan dan patriotisme?
Antara PKR dan MCA, parti manakah yang menggunakan ‘perkauman’ sebagai alat kempen dengan hujah berbeza-beza mengikut hadirin?
Jika masyarakat Cina sanggup memilih Anwar dan merasakan pemimpin seperti Teresa Kok sebagai lebih baik dari Chew Mei Fun, maka jelaslah bahawa mereka tidak lagi rasional dalam membuat keputusan dan sebaliknya lebih cenderung bertindak atas dasar emosi dan perkauman.