Kononnya ingin memberikan tumpuan terhadap pilihanraya kecil Kajang (PRK Kajang), Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali enggan mengulas isu berkaitan pemilihan PKR yang akan bermula pada 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.
“Saya belum buat keputusan (bertanding dalam pemilihan parti), saya mahu fokus di Kajang.
“Tetapi saya ingin menegaskan fokus hari ini ialah memastikan Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar menang bergaya di Kajang,” katanya semalam.
Jumaat lalu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengejutkan banyak pihak bila mengumumkan akan bertanding jawatan timbalan presiden PKR dalam pemilihan parti itu, April ini.
Khalid dikatakan mahu berhadapan dengan Azmin yang merupakan penyandang jawatan itu di peringkat parti serta menjadi pengerusi PKR negeri dan yakin akan mampu mengalahkan Azmin dalam perebutan jawatan tersebut.
“Semua pendekar masuk gelanggang, kalau rasa tidak menang, tak masuk. Saya ada kelebihan dari segi track record dalam semua bidang, saya juga jujur dan sangat berdedikasi. Yang lebih penting ialah saya bekerja untuk agenda reformasi dan saya tidak ada agenda peribadi,” katanya lagi kepada pemberita.
Namun kenyataan Khalid itu dibidas oleh ahli parlimen PKR dari Kuala Langat, Abdullah Sani yang jelas tidak bersetuju dengan alasan yang diberikannya itu.
Ujar Abdullah, seseorang pemimpin serta pentadbir yang baik tidak akan membelakangkan parti selain mengutamakan kepentingan rakyat.
“Track record Azmin jauh lebih baik daripada apa yang dilakukan Khalid. Track record Azmin Ali sebagai pentadbir selama 15 tahun ketika Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran, Menteri Belia dan Sukan, Menteri Kewangan,” katanya.
Katanya, rekod Khalid sebelum menunjukkan ADUN Perlabuhan Klang itu telah beberapa kali membelakangkan parti dan terbaru beliau bertindak menandatangai Perjanjian Persefahaman (MoU) berhubung isu air dengan Putrajaya, tanpa memaklumkan hal itu kepada parti.
“Persetujuan dengan Syabas (menjadikan) 37 peratus (tarif) air akan dinaikkan pada 2014. Macam mana dia kata dia ‘good administrator’? “soalnya.
Khalid sebelum ini dikritik pemimpin PKR bersabit tindakannya itu.
Isu bertanding ini timbul, apabila Khalid dan Azmin dilihat saling ‘tikam-menikam’ antara satu sama lain dan pertikaian antara mereka dilihat semakin meruncing sejak lewat tahun lalu.
Azmin menjadi timbalan presiden PKR sejak tahun 2010 dan tidak lama kemudian menjadi Pengerusi PKR Selangor, menggantikan Khalid.
Beliau sering menegur Khalid kerana tidak melaksanakan dasar-dasar parti dalam menguruskan kerajaan negeri.
Pertikaian berpanjangan itu dikatakan membawa kepada keputusan PKR untuk “memaksa” pilihan raya kecil Kajang diadakan sebagai keadah meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid.
Menurut sumber, Khalid enggan meletak jawatan sebagai MB secara sukarela, malah mahu menguatkan kedudukannya di dalam PKR, justeru mengambil keputusan untuk melawan Azmin bagi jawatan No. 2 parti.
“Jika Khalid berundur atau dipaksa berundur sebagai MB, pemilihan PKR adalah satu-satu opsyen yang tinggal kepada Khalid untuk memastikan beliau masih relevan kepada PKR,” kata sumber itu lagi.