Anwar bangun dan berkata, “Kita jalankan (menjatuhkan hukuman) sekarang.”
Hakim Balia kemudian memutuskan pihaknya menjatuhkan hukuman dalam masa satu jam.
Sebelum ini mereka pernah berdebat di Dewan Rakyat tetapi dalam isu kecil, itupun dalam masa singkat.
Bagaimanapun, Dewan Rakyat pada Rabu menyaksikan dua beradik Tan Sri Shahrir Samad dan Khalid Samad berbalah panjang ekoran berpunca kritikan ahli Parlimen Johor Bharu itu terhadap ahli-ahli parlimen pembangkang yang memboikot persidangan pada Selasa kerana tidak puashati keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu.
Shahrir yang mulanya berada di luar Dewan, masuk apabila Khalid menyebut beliau mahu menegur Ahli Parlimen Johor Bahru itu berhubung ucapan beliau semalam yang menyifatkan tindakan ahli-ahli parlimen pembangkang itu seolah-olah tidak menerima konsep pemisahan kuasa yang mereka sendiri laung-laungkan selama ini.
Menurut Khalid, semua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) memulau sidang Dewan Rakyat semalam kerana mendakwa memang jelas terbukti terdapat campurtangan kuasa eksekutif terhadap bidang kusa kehakiman dalam perbicaraan rayuan kes liwat Ketua Pembangkang di Mahkamah Rayuan.
Khalid berkata, buktinya ketika proses pengurusan kes pada peringkat awal, semua pihak sudah dimaklumkan dan bersetuju kes akan didengar pada 7 hingga 9 April.
“Kita tak hadir atas sebab kita membantah campur tangan pihak eksekutif dalam persoalan pihak judiciary (kehakiman) …kerana kes itu telah dibawa ke depan…semasa kes itu dibincang, case management dilakukan, ianya telah disebut 7 hingga 10 April.
“Tiba-tiba bila berlakunya ‘Kajang Move’ secara mengejut case management dilakukan sekali lagi dan bukan sekadar pihak peguam yang hadir, dan bukan sekadar pegawai mahkamah yang hadir, tetapi hakim itu sendiri yang hadir dan mengubah tarikh perbicaraan sehingga apabila disebut bahawa apabila Bukit Gelugor ada kes yang lain hakim kata tak mengapa kita akan tunda kes yang lain, kita nak ianya dibicarakan pada 7 Mac itu juga…Ini jelas menunjukkan ada campur tangan,” kata Khalid.
Shahrir kemudian mohon mencelah dan menyatakan beliau tertarik dengan sebutan perkataan “jelas menunjukkan” yang diucap Khalid yang juga adik beliau.
“Jelas menunjukkan?… tu apa buktinya? Kalaulah tarikh (bicara) bertembung dengan Kajang Move bukanlah kerana eksekutif yang tentukan tarikh…yang sebenarnya kes bagi Ketua Pembangkang sudah ditangguhkkan beberapa kali,” kata Shahrir.
Untuk rekod, kes rayuan pendakwa terhadap pembebasan Anwar oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tertangguh sebanyak tiga kali disebabkan usaha Anwar untuk menyingkirkan peguam kanan, Tan Sri Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan.
Itu tidak termasuk perbicaraan kes berkenaan yang ditangguhkan sehingga 69 kali.
Manakala Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pula berlaku disebabkan perletakan jawatan Lee Chin Cheh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR sendiri bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di situ.
“Bila dicakap ada bukti jelas, bawalah bukti itu,” tegas Shahrir.
Kedua-dua beradik berkenaan terus bertikam lidah dan menggamatkan sidang Dewan dengan isu peristiwa peletakan jawatan Shahrir pada 1987 ekoran pengharaman UMNO oleh mahkamah turut dibangkitkan oleh Khalid.
Khalid yang juga Ahli Parlimen PAS Shah Alam mendakwa itu satu lagi peristiwa yang menunjukkan pihak eksekutif campur tangan dalam bidang kuasa kehakiman.
Shahrir juga menempelak Khalid apabila adiknya meninggi suara dengan berkata, “Ini hujah bercakap dengan kuat kononnya jelaslah, tetapi kalau kita teriak dengan suara sekuat manapun, suara yang tinggi sahaja dan menolak fakta sebenarnya,”
Khalid yang juga kelihatan berang, minta tempoh tiga jam untuk berbahas dengan abangnya tetapi dibantah Shahrir dengan memberitahu, Khalid tidak layak untuk minta tempoh itu.
“Sepuluh minit bolehlah,” katanya tetap tenang melayan karenah Khalid yang lebih emosional.
Timbalan Speaker, Datuk Ismail Mohamed Said yang mempengerusikan mesyuarat juga berdepan kesukaran untuk mengendalikan perdebatan antara Khalid dan Shahrir.
“Yang Berhormat Yang Berhormat…saya mengakui bahawa sukar saya mengawal kedua-dua orang adik beradik ini,” seloroh Ismail disambut gelak ketawa seluruh Dewan.
Saksikan rakaman penuh video pertikaman lidah abang-adik di Dewan Rakyat yang berlarutan lebih kurang 15 minit pada petang Rabu