Juru: Lima remaja terbunuh apabila kereta mereka naiki terbabas sebelum melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 141.9, Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, depan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Juru, di sini, 10.20 malam tadi.
Berikutan perlanggaran itu, tiga daripada mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan, manakala dua lagi rakan mereka tersepit di dalam kereta yang remuk.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Prai Norizal Md Rabani berkata, dua daripada mangsa tersepit di bahagian pemandu dan penumpang hadapan.
“Kami mengambil kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terpaksa memotong badan kenderaan menggunakan alat pemotong khas.
“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 10.03 malam dan sampai ke lokasi bersama sebuah jentera dan 17 anggota beberapa minit kemudian,” katanya.
Semua mangsa yang maut berusia 17 hingga 18 tahun dan berasal dari Sungai Bakap, Nibong Tebal, manakala seorang lagi rakan mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ), tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.
Suasana hiba menyelubungi lokasi kejadian selepas keluarga seorang daripada mangsa yang tiba terus menangis.
Empat mangsa yang terbunuh adalah Tan Chee Win, 17, Mar Jing Quan, 18, Song Jing Ping, 17, dan Chye Zhi Fei, 17, manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti.