Berikutan kenyataan media oleh Kementerian Pengangkutan mengenai pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 pada Ahad.
1. Perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat
a. Operasi mencari dan menyelamat tetap menjadi usaha antarabangsa yang diselaraskan oleh Malaysia. Beberapa negara mengetuai misi pencarian di kawasan masing-masing dan semua negara terlibat mempamerkan tahap kerjasama yang tidak pernah berlaku dahulu.
b. Pagi tadi, Malaysia menerima imej satelit daripada pihak berkuasa Perancis yang menunjukkan objek-objek yang berpotensi di sekitar koridor selatan. Malaysia dengan segera menyalurkan imej ini kepada pusat koordinasi penyelamat Australia.
c. Dua buah pesawat Ilyushin IL-76s China telah tiba di Perth, dan akan berlepas bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat esok pada 05:00 dan 06:00.
d. Dua buah pesawat P3 Orion Jepun hari ini berlepas dari lapangan terbang Subang menuju Perth.
e. Pusat Koordinasi Menyelamat Australia akan menggerakkan lapan pesawat (empat pesawat tentera dan empat pesawat awam) ke koridor selatan hari ini untuk menjalankan pencarian visual.
f. Kapal Pertahanan Australia ‘Ocean Shield’, yang dilengkapi “sub-sea remotely operated vehicle” kini dalam pelayaran ke koridor selatan.
g. Sehingga pukul 2:30 petang waktu Malaysia, para pegawai Australia telah memaklumkan kepada kita bahawa mereka belum menghasilkan apa-apa penemuan baharu berhubung MH370.
h. Sebuah pesawat P8 Poseidon tentera laut India dan sebuah pesawat C130 Tentera Udara India berlepas dari lapangan terbang Subang hari ini untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat di bahagian utara koridor selatan, yang diketuai oleh Indonesia.
i. Beberapa penerbangan lain dari lapangan terbang Subang ke koridor selatan dibatalkan hari ini kerana cuaca buruk disebabkan oleh taufan Gillian.
j. Australia, China dan Perancis kini menyiarkan imej satelit yang menunjukkan objek berpotensi yang mungkin ada kaitannya dengan MH370, di perkarangan koridor selatan. Semua maklumat ini telah disalurkan kepada Australia, sebagai negara yang mengetuai misi pencarian di kawasan berkenaan.
2. Taklimat keluarga
a. Pasukan peringkat tertinggi Malaysia mula memberi taklimat di Beijing pagi tadi untuk sanak saudara penumpang MH370. Taklimat itu berlangsung lebih enam jam. Ini merupakan taklimat ketiga seumpamanya yang diadakan. Pasukan itu menyampaikan maklumat kepada ahli keluarga dan menjawab soalan. Kerajaan ingin mengulangi komitmen dan usaha yang berterusan kepada ahli keluarga penumpang pesawat MH370.
3. Perkembangan terkini mengenai transmisi alat Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS).
a. Transmisi terakhir ACARS, yang dihantar pada 1.07 pagi menunjukkan tiada apa-apa yang luar biasa. Transmisi pada 1.07 pagi itu menunjukkan rutin biasa sepanjang masa ke Beijing.