Sekeping gambar di dalam dompet yang sering dibawa ke mana-mana menjadi pengubat rindu seorang ibu, Kamariah Sharif, terhadap anaknya, Mohd Razahan Zamani, seorang daripada penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang 8 Mac lepas.
Kamariah, 55, berkata gambar berukuran pasport anak sulungnya ketika berumur tujuh tahun itu yang diletak di dalam dompetnya memang sentiasa dibawa olehnya sejak dulu lagi.
“Sejak kehilangan Razahan, makcik setiap hari bercakap dengan gambar ini sebagai cara mengubat rindu makcik pada dia,” katanya ketika ditemui media di lobi hotel The Everly, Ahad.
Mohd Razahan, 23, berlepas ke Beijing menaiki pesawat MH370 pada 8 Mac lalu bersama isterinya Norli Akmar Hamid, 33, untuk berbulan madu.
“Dia anak yang manja dan paling rapat dengan makcik berbanding tiga adiknya yang lain dan kami memang selalu berhubung,” katanya sambil menahan sebak.
Kamariah berkata walaupun misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 itu kini memasuki hari ke-16 namun dia tetap setia menanti kepulangan anaknya itu.
“Makcik akan tetap tunggu anak makcik tak kira apa sekalipun, makcik tetap akan tunggu dan makcik setiap hari terbayang wajah anak makcik tu,” katanya.
Kamariah berkata dia reda dengan ketentuan Ilahi namun tetap mahu mengetahui keadaan dan nasib serta lokasi sebenar anaknya dan 238 lagi penumpang serta kru pesawat itu.
Dia tidak putus-putus mendoakan keselamatan anaknya dan yakin pesawat berkenaan masih selamat setelah lebih dua minggu usaha pencarian yang dibuat belum menemukan apa-apa kesan daripada pesawat itu.
“Macam-macam kata temui itu ini, tapi hati makcik tetap kata… bukan dia… bukan dia, dia tetap selamat cuma tidak tahu dia mana dia berada, itu sahaja,” katanya