Perth: Lima pesawat yang menyertai pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi menemui beberapa objek pelbagai warna, semalam.
Penemuan terbaru oleh pesawat pelbagai negara itu memberi sedikit harapan selepas usaha pasukan mencari menemui jalan buntu sejak Khamis minggu lalu.
Agensi Keselamatan dan Maritim Australia (AMSA) dalam satu kenyataan laman webnya semalam berkata, lima daripada 10 pesawat membuat tinjauan udara semalam mengesahkan melihat objek itu yang terapung di lautan.
“Imej objek itu sudah dirakam dan akan dianalisis sepanjang malam ini. Bagaimanapun, kita masih belum dapat mengesahkan sama ada ia adalah sebahagian pesawat MH370.
“Pada mulanya pesawat P3-Orion milik Tentera Udara Diraja New Zealand melaporkan mengesan beberapa objek berwarna putih dan terang di permukaan laut.