Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) mempertahankan kedua-dua juruterbang yang dikaitkan dengan kehilangan pesawat penerbangan MH370 dengan menggambarkan kedua-dua mereka sebagai umat Islam yang baik.
Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman (gambar), 80, yang pernah memegang jawatan sebagai CEO MAS untuk 10 tahun berkata, dia mengenali Kapten Zaharie Ahmad Shah sejak dia memasuki MAS sebagai juruterbang kadet.
Abdul Aziz berkata, dia mengenali Zaharie secara dekat dan menggambarkan dia sebagai seorang juruterbang yang hebat dan lelaki yang berbudi bahasa.
“Saya berpendapat mereka (media) membuat laporan silap dengan menyalahkan Zaharie,” katanya dalam temu bual dengan CNN.
Ketika disoal mengenai Fariq Abdul Hamid, 27, Aziz berkata, dia mengenali bapa kepada Fariq, iaitu Timbalan Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Selangor, Abdul Hamid Mat Daud.
“Fariq dan bapanya mendalami agama Islam dan kitab al – Quran secara mendalam,” katanya.
CNN melaporkan Zaharie dituduh mempunyai kaitan dengan kehilangan MH370 berikutan sokongan kuatnya terhadap Pakatan Rakyat.