Para Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor membidas keputusan kerajaan negeri Selangor memansuhkan diskaun tujuh peratus yang diberikan kepada bumiputera untuk pembelian kediaman mampu milik di bawah Skim Rumah Selangorku.
Ketua Pembangkang Datuk Mohd Shamsudin Lias berkata kerajaan negeri sepatutnya mempertimbangkan perkara itu sebelum membuat keputusan yang membebankan golongan bumiputera untuk memiliki kediaman sendiri.
“Ketika BN mentadbir Selangor sebelum ini, kerajaan negeri tetap memberi diskaun tujuh peratus itu kepada bumiputera walaupun telah memberi subsidi terhadap pembinaan rumah mampu milik di bawah RM42,000. Ini kerana kedudukan kewangan golongan itu masih lagi rendah.
“Bagaimanapun kerajaan negeri hari ini memansuhkan diskaun tujuh peratus itu, yang pasti akan membeban dan menyukarkan bumiputera yang berpendapatan rendah untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini Selasa.
Mohd Shamsuddin mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Negeri, Iskandar Abdul Samad pada sidang DUN hari ini bahawa kerajaan negeri tidak lagi memberi diskaun antara lima hingga tujuh peratus bagi pembelian perumahan mampu milik, yang sebelum ini diberikan kepada golongan bumiputera di negeri itu.
Iskandar berkata diskaun itu tidak lagi diberikan kerana harga rumah mampu milik yang dibina kerajaan negeri adalah mengikut harga pasaran dan telah diberikan subsidi.
Sementara itu, Adun Dengkil Shahrum Mohd Sharif pula mempersoalkan komposisi bilangan unit rumah mampu milik oleh kerajaan negeri di bawah skim itu, yang hanya memperuntukkan 10 peratus rumah jenis A, iaitu di bawah harga RM42,000.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri menetapkan peratusan lebih besar untuk pembinaan rumah mampu milik jenis B dan C yang berharga antara RM100,000 hingga RM200,000 iaitu 30 peratus.
Begitu juga untuk perumahan mampu milik jenis D berharga antara RM220,000 hingga RM250,000, yang tidak mengehadkan peratusan pembinaannya kepada pemaju, katanya.
“Mengapa kerajaan negeri hanya bina 10 peratus sahaja rumah mampu milik di bawah harga RM42,000. Ramai lagi bumiputera tidak mampu memiliki kediaman mampu milik melebihi harga RM42,000, terutama yang berpendapatan rendah.
“Sepatutnya kerajaan negeri bina lebih banyak rumah mampu milik di bawah harga berkenaan. Jika ini keadaannya bagaimana usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam pemilikan perumahan,” katanya.