Selain jawatan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menimbulkan tanda tanya apabila ditandingi pasangan suami isteri, jawatan nombor dua juga tidak sepi daripada perhatian umum.
Masyarakat khususnya para penyokong mahu melihat siapakah yang bakal mengisi kerusi timbalan presiden, yang dilihat sangat penting bagi menyokong dan membantu presiden dalam menjayakan misi serta visi parti, yang sudah 15 tahun berada dalam arus perdana politik sejak ditubuhkan pada 1999.
Melihat kepada senarai calon-calon bertanding jawatan timbalan presiden yang boleh dikategorikan sebahagiannya pemimpin ‘berpengaruh’, ia sekaligus memberi isyarat bahawa penyandangnya Mohamed Azmin Ali tidak akan mendapat laluan mudah untuk terus kekal di posisi itu buat sepenggal lagi.
Mohamed Azmin, yang menjadi naib presiden selama tiga penggal sejak 2001, menang jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti 2010, mengalahkan Pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub.
PERTANDINGAN EMPAT PENJURU
Selain Mohamed Azmin, tiga calon lain yang menawar diri untuk jawatan timbalan presiden ialah Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan anggota cabang Hulu Selangor Datuk K. Ramachandran.
Pertandingan jawatan nombor dua PKR, pada awalnya menyaksikan pertembungan enam penjuru, namun dua lagi calon iaitu Naib Presiden Tian Chua dan bekas ketua cabang Puchong S. Murali mengumumkan menarik diri semalam.
Antara calon yang menjadi perhatian masyarakat dan pemerhati politik ialah Abdul Khalid dan Saifuddin yang dikatakan mampu memberi saingan sengit kepada Mohamed Azmin bagi merebut jawatan itu.
Blog-blog politik tempatan pula lebih banyak memainkan isu pertembungan antara Mohamed Azmin dan Abdul Khalid, yang dilihat sebagai pertandingan antara kredibiliti dan kuasa politik.
Sebelum ini pelbagai desas-desus tersebar mengenai krisis yang melanda kedua-dua tokoh politik ini, dan hal berkenaan turut diakui sendiri Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli. “Semua orang tahu mengenai pertembungan antara (Mohamed) Azmin Ali dan Abdul Khalid… dan keadaan itu tidak sihat. Ia tidak membantu rakyat,” kata Rafizi yang dipetik sebagai berkata dalam sidang medianya pada Selasa.
SIAPA YANG PALING BERPENGARUH?
Melihat kepada kesemua calon tersebut, timbul persoalan siapakah di kalangan mereka yang paling berpengaruh di dalam parti?
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu Che Hamdan Che Mohd Razali melihat Mohamed Azmin mempunyai pengaruh yang besar di dalam parti berbanding tiga calon lain.
Pun begitu, katanya keupayaan Abdul Khalid tidak boleh dipandang enteng ekoran kekuatan ‘cengkamannya’ di Selangor, yang telah berjaya memenangkan pakatan PKR-DAP-PAS di negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.
“Azmin dilihat lebih berpengaruh daripada segi politik PKR sahaja, tetapi Khalid pula berpengaruh di Selangor atas kebolehan beliau menguruskan negeri itu. Yang lain-lain, saya lihat sebagai pemecah undi sahaja,” katanya.
Pada Selasa lepas, Saifuddin yang membentuk gandingan sebagai satu pasukan bersama Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Rafizi, dilapor mengakui berhadapan laluan sukar untuk menang jawatan itu.
Saifuddin juga percaya rekod sumbangannya dalam parti, termasuk ketika bergelar Anggota Parlimen Machang menjadi sandarannya untuk dinilai anggota parti yang bakal memilih barisan kepemimpinan parti berkenaan.
Abdul Khalid semalam dilapor berkata menyifatkan tindakan tiga pemimpin PKR berganding sebagai satu pasukan bagi menghadapi pemilihan parti itu bulan depan bukan satu ancaman dan tidak memberikan sebarang tekanan kepadanya.
Mohamed Azmin, yang juga Anggota Parlimen Gombak, dilapor sebagai berkata menyerahkan kepada anggota PKR menentukan siapa yang bakal dipilih mengisi jawatan kedua tertinggi di dalam parti.
Mohamed Azmin dan Saifuddin menyertai PKR pada 1999 manakala Abdul Khalid pada 2007.
MAMPUKAH AZMIN KEKAL?
Menyedari lawan bagi jawatan timbalan presiden bukanlah calang-calang orang, timbul persoalan mampukah Mohamed Azmin mengekalkan kedudukannya?
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata memandangkan prestasi hambar dan sering kali menimbulkan permasalahan khususnya di Selangor, Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa itu diramal tewas pada pemilihan kali ini.
Selain itu, beliau berkata kekeruhan hubungan dengan Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, juga antara punca yang boleh menyebabkan Mohamed Azmin tersungkur.
“Seperti yang kita tahu, Dr Wan Azizah lebih condong kepada Khalid dan sudah tentu Khalid mempunyai peluang yang amat cerah kerana mendapat sokongan padu daripada presiden.
“Saya juga melihat bahawa (Ketua Umum PKR, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) akan memberi sokongan terbuka kepada Saifuddin, dan Azmin akan sukar mengekalkan kedudukan beliau dalam parti,” katanya.
Bagaimana pun, setiap calon yang menawarkan diri bertanding jawatan pasti mempunyai pengaruh sendiri di dalam parti dan keputusan kepimpinan baharu PKR, yang akan diketahui secara rasmi pada 13 Mei.