Tambak Johor sudah tidak lagi relevan dalam dunia moden sekarang kerana ia dilihat menyekat laluan di Selat Tebrau.
Malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Tambak Johor juga menyebabkan pelbagai masalah terutamanya melibatkan isu alam sekitar dan kesesakan lalu lintas di Johor Bahru.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Tambak Johor dirobohkan bagi membolehkan pembinaan jambatan baru antara Malaysia dan Singapura yang dikenali sebagai ‘Jambatan Persahabatan’ seperti yang dicadangkan kerajaan.
“Jika ia adalah sebuah jambatan, adakah kita masih perlukan sebuah tambak? Tambak ini menghalang air mengalir keluar dan ia juga sangat kotor”.
“Ia menyebabkan laut menjadi sangat kotor dan terdapat kesesakan lalu lintas yang teruk di Johor Bahru kerana jambatan tidak dibina,” katanya selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk ‘Leaders in Today’s Society: Issues, Challenges and Way Forward’ di Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar, Perak pada Rabu.
Beliau juga berharap kerajaan tidak akan membina jambatan di tempat lain dan kemudian meninggalkan Tambak Johor di tempatnya kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Johor.
“Ia (Tambak Johor) perlu dirobohkan, jika tidak tak adalah persahabatan,” katanya.
Dr Mahathir juga melahirkan kekecewaan beliau berhubung pembatalan projek pembinaan ‘Jambatan Bengkok’ di Selat Johor, sebelah Malaysia menghubungkan Tambak Johor ke Singapura.
Beliau berkata sewajarnya jambatan berkenaan dibina kerana Tambak Johor menghalang pergerakan aliran air timur-barat yang boleh digunakan bagi tujuan komunikasi.
Pada 7 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan pembinaan ‘Jambatan Persahabatan’ semasa sidang akhbar bersama-sama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong selepas kedua-dua mereka mengakhiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura selama dua hari di Putrajaya.