Malaysia terus memupuk ekosistem pelaburan yang baik tahun ini berdasarkan perkembangan positif tahun lalu yang mencatatkan RM217 bilion mengatasi rekod tertinggi RM167.8 bilion pada 2012.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri berkata, daripada jumlah itu RM168 bilion adalah pelaburan dalam negara manakala selebihnya dari luar negara.
“Perkembangan itu sekali gus menunjukkan peningkatan 29 peratus pelaburan diterima negara selain menyediakan 197,000 peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) Cawangan Daerah Ledang kali keempat di Dewan Serbaguna Bukit Gambir di sini, kelmarin.