LOS ANGELES: Seorang remaja bernasib baik apabila terselamat daripada kesejukan melampau dan kesukaran untuk bernafas selepas menyelinap masuk ke bahagian tayar pesawat yang dalam perjalanan dari California ke Hawaii.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengenal pasti suspek sebagai seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang memanjat pagar di lapangan terbang San Jose.
Dia kemudiannya menyelinap masuk ke bahagian tayar pesawat Hawaiian Airlines yang berlepas ke Maui, menurut jurucakap FBI, Tom Simon.
Remaja terbabit dipercayai lari dari rumah, mampu menahan kesejukan melampau dan kekurangan oksigen selama lima jam setengah pada ketinggian 38,000 kaki merentasi Lautan Pasifik.
“Dia dipantau keluar dari pesawat di Maui, FBI menemu bual suspek sebelum menyerahkannya ke rumah perlindungan,” kata Simon.
Katanya, remaja terbabit tidak akan dikenakan sebarang dakwaan jenayah di Hawaii.
Namun, ‘sekiranya California memutuskan untuk mengenakan tuduhan jenayah terhadapnya, ia bergantung kepada mereka,” katanya.
Rakaman video keselamatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mineta di San Jose menunjukkan remaja terbabit memanjat pagar sebelum menyelinap masuk ke bahagian tayar pesawat tanpa dapat dikesan.