Lima pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cedera parah, selepas bas yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 25.2 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), di Kuala Lumpur, kira-kira pukul 9.30 pagi Ahad.
Menurut sumber, bas yang membawa 31 orang termasuk pemandu itu dalam perjalanan menuju ke Bukit Cherakah, Shah Alam.
“Menurut saksi, bas berkenaan hilang kawalan lalu terbabas di bahagian kiri lebuh raya dan melanggar penghadang pembinaan sebelum terbabas ke tapak pembesaran jalan.
“Seramai lima pelajar UIAM parah terdiri daripada empat pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan,” katanya.
Sumber itu berkata, operasi menyelamat melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Hartamas dan Jalan Hang Tuah pada pukul 9.40 pagi.
Menurut sumber lagi, pemandu bas yang membawa 30 pelajar UIAM itu ada mengadu kurang sihat sebelum memulakan perjalanan.
Mengenai mangsa yang cedera parah, katanya, seorang pelajar lelaki dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur manakala empat lagi serta mereka yang cedera ringan dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
“Pemandu bas dibawa ke klinik di UIAM untuk diberikan rawatan,” kata sumber.